Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Sebanyak 1,300 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 17,506 dos iaitu 40.8 peratus.
“Sementara itu, sebahagian daripada kanak-kanak di dalam kumpulan umur ini juga telah mula menerima dos kedua vaksin berkenaan di mana semalam, sebanyak 169 dos telah diberikan yang meliputi 0.4 peratus kanak-kanak,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dalam pada itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah kekal pada kadar 64.4 peratus.
Sebanyak 136 kes baharu jangkitan COVID dilaporkan hari ini, iaitu 118 kes hasil ujian ART dan 18 kes adalah hasil dari 597 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 141,405 kes,” kata Yang Berhormat Dato.
Beliau seterusnya mengongsikan, terdapat dua kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

“Manakala satu kes dalam kategori 4 memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan 197 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 140,249 kes.
Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 938 kes iaitu 22 kes sedang dirawat di hospital manakala 916 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Di hujung kenyataannya, beliau turut mengucapkan, “Selamat menunaikan ibadah puasa.
Semoga amal ibadah kitani di 10 hari terakhir bulan Ramadan ini akan diterima oleh Allah SWT dan semoga kitani akan dapat meraih ganjaran yang berganda daripadaNya.”