Dos penggalak J&J hasil imuniti lebih kuat

LONDON, 21 SEPT – Johnson & Johnson (J&J) mengeluarkan data menunjukkan dos penggalak kepada vaksin koronavirus satu dosnya menghasilkan respons imun yang kuat beberapa bulan selepas orang menerima dos pertama.

J&J berkata dalam satu kenyataan hari ini ia menjalankan dua kajian awal dalam golongan individu yang diberikan vaksin sebelumnya dan mendapati dos kedua menghasilkan respons antibodi yang meningkat dalam orang dewasa dari umur 18 hingga 55 tahun.

“Vaksin dos penggalak J&J menambah respons antibodi seterusnya di kalangan peserta kajian yang telah menerima vaksin kami sebelumnya,” kata Dr Mathai Mammen, ketua penyelidikan dan pembangunan di J&J.

Syarikat itu sebelumnya menerbitkan data menunjukkan suntikan satu dosnya memberikan perlindungan sehingga lapan bulan selepas imunisasi.

J&J berkata ia sedang berunding dengan badan pengawal selia termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS, Agensi Ubat Eropah dan badan lain mengenai penggunaan dos penggalak vaksinnya.

Vaksin J&J diluluskan untuk digunakan di AS, Eropah dan terdapat rancangan untuk mengongsi sekurang-kurangnya 200 juta dos dengan COVAX bertujuan mengagihkan vaksin kepada negara miskin. – AP

Kotak vaksin Johnson & Johnson dipamerkan oleh ahli farmasi di Hungaropharma, syarikat borong farmaseutikal Hungary di Budapest, Hungary. – AP