Dos penggalak Sinovac 94 peratus berkesan terhadap Omicron

KUALA LUMPUR, 19 DIS – Data awal daripada kajian menunjukkan bahawa suntikan penggalak vaksin Sinovac adalah 94 peratus berkesan terhadap varian Omicron, menurut Pharmaniaga Bhd.

Kajian oleh Sinovac Biotech Co Ltd melibatkan dua strain varian baharu dari Hong Kong, katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan makmal menunjukkan bahawa apabila diuji terhadap satu daripada strain Omicron, 35 peratus daripada 20 sampel serum (7/20) daripada penerima dua dos CoronaVac diuji positif untuk antibodi peneutral dan 94 peratus daripada 48 sampel (45/48) daripada penerima tiga dos diuji positif untuk antibodi peneutral.

Ujian perbandingan menggunakan strain virus Omicron lain sedang dijalankan. 

Pharmaniaga berkata Sinovac sedang menjalankan kajian lanjut melibatkan sera dengan paras antibodi yang berbeza dan pada pelbagai masa selepas imunisasi untuk mencapai penilaian yang menyeluruh mengenai impak Omicron terhadap vaksin. – Bernama