Doug ubi kentang hodoh terbesar dunia

WELLINGTON, NEW ZEALAND – Colin dan Donna Craig-Brown sedang membuang rumpai di kebun mereka di New Zealand apabila cangkul Colin terkena sesuatu yang besar di bawah permukaan tanah.

Ketika pasangan suami isteri itu membongkok dan mula menggali di sekeliling objek tersebut, Colin tertanya-tanya sama ada ia merupakan sejenis kulat yang luar biasa, ‘puffball.’ Selepas Colin mencungkilnya dengan penggembur, dia terkopek sedikit kulit dan merasanya.

Ia adalah sebiji ubi kentang.

“Kami tidak mempercayainya,” kata Donna. “Ia sungguh besar.”

Dan ia kelihatan hodoh. Donna menggambarkan rupanya lebih daripada hodoh, mutan.

Namun ia merupakan ubi kentang terbesar yang pernah dicatat. Apabila pasangan itu mengheretnya ke dalam garaj mereka dan meletakkannya di atas penimbang lama mereka, ia mencatat berat 7.9 kilogram. Ia bersamaan dengan beberapa guni ubi kentang biasa, atau seekor anak anjing.

Donna Craig-Brown memegang ubi kentang besar yang digali dari kebun rumahnya berhampiran Hamilton, New Zealand. – AP

Dalam minggu-minggu selepas penemuan luar biasa mereka pada 30 Ogos, ubi kentang pasangan itu telah menjadi amat terkenal di sekitar ladang kecil mereka berhampiran Hamilton. Mereka memberikan nama Doug kepada ubi kentang itu, malah Colin membina sebuah kereta sorong kecil untuk membawa Doug ke sekeliling kawasan berkenaan.

“Kami meletakkan topi di atasnya. Kami menyiarkan gambarnya di Facebook, membawanya bersiar-siar,” kata Doug. “Ia menyeronokkan. Sungguh teruja ia dapat menghiburkan orang ramai.”

Timbangan yang lebih rasmi di sebuah kedai tempatan meletak Doug pada 7.8 kilogram. Ubi kentang paling berat pernah direkod dalam Buku Rekod Dunia Guinness adalah ubi kentang gergasi dari Britain pada 2011 yang mempunyai berat 5 kilogram. Pasangan itu berkata mereka telah memohon kepada Guiness untuk mengiktiraf Doug dan sedang menunggu jawapan daripada mereka.

Menurut Colin, dia tidak mempunyai rahsia berkebun. Biasanya mereka akan menabur baja dan jerami di kebun mereka dan melihat apa yang berlaku. Dia berkata mereka telah menanam timun di kawasan kebun mereka sebelum rumpai mengambil alih dan belum menanam sebarang ubi kentang. Doug sudah tentunya tumbuh sendiri, dan mungkin sudah membesar beberapa tahun lamanya.

“Ia merupakan satu misteri bagi saya,” kata Colin. “Ia adalah salah satu kejutan alam semula jadi.” – AP