Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi selamat berangkat tiba di Negeri Kedah Darul Aman, Malaysia untuk menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman yang diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Negeri Kedah Darul Aman.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dijunjung oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Abdul Bari bin Abdullah; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; serta pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia dan dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan berangkat menaiki kenderaan khas menuju ke Hotel dan Pusat Persidangan Tabung Haji, tempat persemayaman Duli Yang Teramat Mulia, di Alor Setar.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan berangkat ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj di Istana Anak Bukit.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh pembesar-pembesar Negeri Kedah Darul Aman.




Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat untuk memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj.
Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj mangkat pada 2:30 petang kelmarin di Istana Anak Bukit. Al-Marhum Sultan Kedah Darul Aman, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.
Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj turut melakar sejarah Malaysia dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 21 September 1970 hingga 12 September 1975 dan 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj diputerakan pada 28 November 1927 dan pada 14 Julai 1958, Baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman setelah kemangkatan ayahanda Baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Baginda telah dipuspakan sebagai Sultan Kedah Darul Aman pada 20 Februari 1959.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
Pada tahun 1952, semasa Baginda selaku Raja Muda Kedah, Sultan Abdul Halim melanjutkan pelajaran ke Kolej Wadham, Oxford, London, dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.
Al-Marhum Sultan Abdul Halim telah meninggalkan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Haminah Hamidun dan dua orang puteri, Yang Teramat Mulia Datuk Seri Diraja Tunku Soraya dan Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah, Brigadier Jeneral Tan Sri Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz.
Mengiringi keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir berkenaan ialah Men-teri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Dari Istana Anak Bukit, Duli Yang Teramat Mulia berserta rombongan terus berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.
Hadir sama di lapangan terbang tersebut untuk menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Abdul Bari bin Abdullah dan Dato Paduka Haji Alaihuddin serta pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia dan dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur, Malaysia.
Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.