DPMM FC ‘A’ juara kejohanan mini

Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Pasukan DPMM FC ‘A’ muncul juara dalam kejohanan mini DPMMFC Football Fanfare 2021 selepas menewaskan pasukan DPMM FC ‘B’ 3-1 bertempat di Stadium Mini Jerudong, Jerudong Park, kelmarin.

Berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Pasukan DPMM FC.

Berkenan menyertai kejohanan mini tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mewakili pasukan Warriors.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb merupakan pemain penting buat pasukan DPMM FC ‘A’ yang memenangi kejohanan tersebut.

Terdahulu, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, Naib Pengerusi Pasukan DPMM FC, menyembah kenalkan pasukan yang menyertai kejohanan. Acara diteruskan dengan pengenalan pasukan utama DPMM FC yang akan bersaing di Liga Super Brunei 2021 pada musim ini bersama dengan pihak kejurulatihan. Sementara itu, kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan sembilan buah pasukan remaja yang terdiri daripada pasukan IKLS-MB5 FC, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), Warriors, Bang Dalam FC dan DPMM FC ‘B’ yang berada dalam Kumpulan A, sementara Kumpulan B terdiri daripada pasukan DPMM FC ‘A’, Striking Stars, Wijaya FC dan Dash Football Academy.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi DPMM FC berkenan menyempurnakan penyampaian piala kepada salah seorang pemain pasukan DPMM FC A semasa keberangkatan ke kejohanan mini DPMM FC Football Fanfare 2021 di Stadium Mini Jerudong Park, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai. Turut hadir YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.
Aksi YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa mewakili pasukan Warriors.

Kedua-dua pasukan DPMM FC (A dan B) , Striking Stars dan JIS mara ke pusingan seterusnya setelah berjaya menamatkan kedudukan di tempat dua teratas peringkat kumpulan masing-masing.

Dalam pusingan separuh akhir, DPMM FC ‘B’ berjaya menewaskan Striking Stars manakala DPMM FC ‘A’ menundukkan JIS dengan keputusan 2-0 sekali gus mengesahkan kedua-dua pasukan DPMM FC bertemu di peringkat akhir kejohanan.

Pasukan JIS mengesahkan tempat ketiga setelah mengalahkan Striking Stars di pusingan playoff.

Awangku Mohammad Syafiq Hilmi bin Pengiran Mohammad Shahrom dan dua gol hasil Muhammad Akram Waqeel Muhammad Bakri memberikan inspirasi buat pasukan DPMM FC ‘A’ untuk merangkul gelaran sementara Muhammad Zarif Muzaffar Abdulhana Rizal menghadiahkan gol sagu hati buat DPMM FC ‘B’.

Anugerah pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh Awangku Mohammad Syafiq Hilmi sementara rakan sepasukannya Safwan Zawawi bin Sazalee meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Pasukan utama DPMM FC akan memulakan saingan BSL dengan bertemu Bakes FC Ahad depan.