DPMM FC buru gelaran Liga Super Brunei

Oleh James Kon
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Setelah lebih setahun tanpa sebarang pertandingan bola sepak, DPMM FC akan kembali beraksi memburu gelaran Liga Super Brunei tahun ini, yang akan bermula pada 20 Jun.

“Saya benar-benar tidak sabar untuk bertanding di Liga Super Brunei 2021. Senang sekali kita dapat bermain bola sepak yang kompetitif lagi,” kata ketua jurulatih DPMM FC, Adrian Pennock semasa majlis menandatangani kontrak pemain DPMM FC di Hotel Centrepoint, hari ini.

“Pasukan dan kakitangan dalam keadaan bagus ketika menjalani latihan. Ini adalah tahun yang sangat sukar kerana pandemik COVID-19 dan kami benar-benar menantikan perlawanan pertama liga,” tambahnya.

Dua puluh empat pemain menandatangani kontrak dengan kelab itu hari ini, merangkumi tiga pemain asing iaitu penjaga gol, Emerson Jose Da Conceicao, pemain tengah, Charlie David William Clough dan penyerang, Andreiy Varanko. Manakala pemain tempatan terdiri daripada Muhammad Wafi bin Aminuddin, Abdul Mu’iz bin Sisa, Muhammad Hanif Farhan bin Azman, Azwan Muhammad Saleh, Muhammad Azwan bin Ali Rahman, Mohd Hendra Azam bin Mohd Idris, Abdul Azizi bin Ali Rahman, Mohammad Najib bin Haji Tarif, Haimie anak Nyaring, Muhammad Hanif @ Abdul Hadi bin Hamir, Mohammad Helmi bin Haji Zambin, Hazwan bin Hamzah, Muhammad Nur Asyraffahmi bin Norsamri, Muhammad Hakeme Yazid bin Said, Mohammad Shahrazen bin Said, Muhammad Razimie bin Ramli, Muhammad Nurikhwan bin Othman, Pengiran Mohd Fakharrazi bin Pengiran Haji Hassan, Abdul Aziz bin Tamit, Awangku Yura Indera Putera bin Pengiran Yunos dan Mohd Wardun Yusof.

“Kami mengekalkan tiga pemain import dan kami juga memasukkan tiga pemain muda tempatan ke dalam skuad,” jelas Pennock.

Walaupun DPMM FC tidak akan mengambil bahagian dalam liga Singapura musim ini, mereka berharap dapat bersaing di Piala Singapura. Namun, kerana sekatan kemungkinan ia tidak berlaku.

“Berikutan pelonggaran sekatan, pasukan DPMM FC menyesuaikan latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Untuk memastikan pemain sentiasa cergas dan bersedia untuk kejohanan, kami menyediakan program kecergasan agar mereka terus dalam keadaan terbaik. Penghargaan tinggi harus diberikan kepada kakitangan yang telah bekerja keras untuk pasukan,” tambahnya.

Pennock juga mengalu-alukan peminat bola sepak tempatan untuk terus memberi sokongan kepada pasukan DPMM FC di Liga Super Brunei.

Majlis pelancaran jersi DPMM FC bagi musim 2021.
Adrian Pennock semasa menghadiri majlis menandatangani kontrak pemain DPMM FC di Hotel Centrepoint, kelmarin.