Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – DPMM FC dan Kasuka SC akan menamatkan penantian negara dalam saingan domestik apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi final Piala FA Brunei 2022 di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pada 4 Disember.
Negara Brunei Darussalam sudah lama tidak menyaksikan aksi akhir liga kebangsaan sejak MS ABDB menjulang piala kemenangan dalam Liga Super Brunei pada Mei 2019 dan Kota Ranger dalam Piala FA Brunei pada April 2019 disebabkan oleh pandemik COVID yang memaksa perlawanan dibatalkan.
DPMM FC memburu trofi kemenangan buat kali pertama sejak 2004 sebelum mengikuti liga Malaysia dan Singapura, manakala Kasuka SC mencari kemenangan pertama mereka.
Ini merupakan pertembungan kali pertama mereka dalam sejarah perlawanan.
Ketua Jurulatih DPMM FC, Mohammad Helme bin Panjang kelmarin berkata semasa sidang media di Dewan Serba Guna, Rumah FABD, “Kami akan memperbaiki kekurangan pasukan kami dan akan mempamerkan hasilnya dalam aksi final.
“Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri dan terserah kepada pemain untuk beraksi dalam perlawanan akhir nanti,” tekannya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kasuka SC, Ali Mustafa berkata, “Semasa minggu terakhir sebelum bertemu DPMM FC, kami telah berlatih seperti biasa dan memperbaiki kelemahan kami.
“Ini merupakan kali pertama pasukan kami akan bertembung. Sebelum itu, kami telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan DPMM FC. Insya-Allah, kedua-dua pasukan akan mengatur strategi untuk mencari kemenangan.
“Kami akan cuba bermain dan mencapai kemenangan walaupun DPMM FC jelas lebih berpengalaman. Sebelum ini, DPMM FC bermain pada tahap yang lebih tinggi menentang pasukan dari Liga Perdana Singapura,” jelasnya. Seterusnya, Kapten Pasukan DPMM FC, Azwan Ali Rahman berkata, “Alhamdulillah, kami telah bersedia untuk aksi final. Kami telah bekerja keras dan berharap dapat memberikan 100 peratus untuk aksi final. Saya rasa permainan kali ni akan jadi seimbang dan kami akan berikan yang terbaik untuk menang, Insya-Allah.”
Akhir sekali, Kapten Pasukan Kasuka SC, Sairol bin Haji Sahari berkata, “Kami sangat teruja untuk mara ke final. Setiap pemain mempunyai kelebihannya tersendiri. Saya berharap kami dapat tunjukkan persembahan terbaik.”
Pemenang pertandingan akan mendapat tempat di peringkat kelayakan untuk bersaing mewakili Brunei dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2023-2024 pada musim depan.
Sidang media tersebut telah dipengerusikan oleh Pegawai Pelesenan Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Izwan Eswandy.