BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Pasukan Brunei DPMM FC mensia-siakan gol pendahuluan di separuh masa pertama apabila tewas 2-1 kepada Balestier Khalsa FC dalam aksi Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.
Dengan misi membawa momentum kemenangan selepas menewaskan Hougang United FC sebelum ini, Brunei DPMM FC bermula garang dengan membuat siri serangan di awal perlawanan. Pada minit ke-20 perlawanan, sepakan penalti telah dihadiahkan oleh pengadil perlawanan selepas satu pergelutan di dalam petak penalti yang menyaksikan Ramazotti dikasari oleh pemain pertahanan Balestier.
Ramazotti menyempurnakan sendiri penalti itu bagi menjadikan kedudukan 0-1 buat Brunei DPMM FC dengan penjaga gol Balestier melompat ke arah yang bertentangan. Jaringan 0-1 berakhir sehingga separuh masa pertama berakhir.
Pada minit ke-56, kealpaan pemain pertahanan baru Brunei DPMM FC, Zeljko Savic yang membuat tandukan ke belakang membawa padah apabila pemain Balestier, Hazzuwan berlari mendapatkan bola dan menyamakan kedudukan 1-1.
Selang empat minit perlawanan, Balestier melengkapkan kebangkitan menerusi sepakan percuma Raihan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Brunei DPMM FC.
Brunei DPMM memasukkan Adi Said bagi membantu di bahagian serangan dan hampir memberikan impak segera tetapi rembatannya tersasar. Di masa kecederaan, Ramazotti nyaris menjaringkan gol penyamaan, namun tandukannya diselamatkan di atas garisan oleh pemain Balestier.
Persaingan Liga-S seterusnya bagi Brunei DPMM FC adalah perlawanan menentang Pasukan Warriors FC di gelanggang sendiri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 15 April ini jam 8:15 malam.