DPMM FC kekang Tampines

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan antara Pasukan Brunei DPMM FC dan Tampines Rovers FC dalam saingan Liga Perdana Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas malam tadi.

Berangkat sama ke perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Turut berangkat ialah anakanda DYTM Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Adi Said menjadi wira Pasukan Brunei DPMM FC, yang bermain dengan 10 orang pada suku terakhir perlawanan, selepas menjaringkan gol pada minit ke-58 bagi sekurang-kurangnya meraih satu mata, sekali gus merapatkan jurang mata dengan pasukan di tangga ketiga, Home United.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan antara Pasukan Brunei DPMM FC dan Tampines Rovers. – Gambar oleh Khairil Hassan
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan anakanda, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berangkat sama menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto

Tampines Rovers terlebih dahulu membuka jaringan apabila berjaya menembusi gawang Brunei DPMM FC pada masa kecederaan babak pertama menerusi Khairul Amri.

Brunei DPMM FC , yang membawa momentum kemenangan selepas menewaskan Hougang United minggu lalu, kini hanya tiga mata di belakang Home United dan empat mata di belakang Tampines Rovers, yang berada di kedudukan kedua Liga Perdana Singapura.

Saingan Brunei DPMM FC seterusnya pada Sabtu ini merupakan satu peluang terbaik buat Brunei DPMM FC apabila melayan kunjungan Home United di laman sendiri. Kemenangan pastinya meletakkan Brunei DPMM FC di kedudukan yang terbaik untuk merapatkan jurang mata.