DPMM FC mulakan kempen Liga S’pura pada 6 Mac

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Perlawanan pertama Brunei DPMM FC di saingan Liga Perdana Singapura menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan ekoran sekatan perjalanan untuk membendung penularan wabak koronavirus (COVID-19).

Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah mengumumkan penundaan empat perlawanan, tiga darinya melibatkan juara bertahan Liga Singapura, Brunei DPMM FC yang tidak akan bermain pada perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih AIA pada permulaan musim ini disebabkan masalah yang sama.

Skuad Brunei DPMM FC akan mempertahankan gelaran mereka seminggu lebih akhir menetang Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 6 Mac.

Manakala perlawanan menentang Lion City Sailors telah ditundakan pada 15 April, iaitu 10 hari selepas Brunei DPMM FC bermain di tempat lawan menentang Hougang United.

Perlawanan Brunei DPMM FC menentang Albirex Niigata (S) di Stadium East Jurong sepatutnya dijadualkan pada 13 Mac tetapi telah ditundakan sehari selepas tarikh yang akan diumumkan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Brunei DPMM FC akan menerima kunjungan Young Lions pada 17 Jun di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, yang sepatutnya bertemu pada 18 Mac.

Antara jadual-jadual perlawanan yang turut terjejas adalah perlawanan di antara Tanjong Pagar United FC dan Albirex Niigata (S), yang sepatutnya bertemu di Stadium East Jurong pada 18 Mac telah ditunda pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.