DPMM FC persiapkan diri

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Ketua jurulatih DPMM FC yang baru, Rene Weber berhasrat untuk memenuhi jangkaan peminat bagi memulakan musim ini dengan cemerlang dan berhasrat untuk mendapatkan gelaran juara bagi DPMM FC dalam Liga Singapura pada tahun ini.

“Bola sepak adalah sukan yang sangat popular di dunia dan pastinya semua yang menontonnya akan mengharapkan pasukan masing-masing menunjukkan permainan yang menarik dan bertenaga,” kata beliau kepada wartawan Media Permata ketika di temui semasa sesi latihan pasukan DPMM FC di Stadium Mini Jerudong.

Weber mengakui bahawa dia telah meneliti pasukan DPMM FC dan yakin kejuaraan pasti akan dikecapi kerana DPMM FC pernah menjuarai kejohanan itu sebelum ini.

Sebagai jurulatih baru, beliau berkata akan terus berusaha gigih bersama para pemainnya setapak demi setapak untuk mencapai objektif membentuk sebuah pasukan yang kuat dan mantap, sekali gus membawa pulang piala yang diidamkan bukan sahaja oleh pemain malahan juga oleh para peminat.

“Saya tidak mahu berlaku sebarang kecederaan di pra musim ini dan pengalaman sebelum ini telah banyak mengajar saya untuk merangka sistem dan latihan yang sesuai bagi perkembangan pemain, selain akan bertanggungjawab dengan kehendak penganjur mengenai status para pemain,” kata jurulatih yang pernah bertugas di Portugal, Peru, UAE, Qatar dan kini bersama DPMM FC. Terkini, DPMM FC telah memberikan peluang kepada sembilan pemain luar negara masuk dalam peringkat pemilihan untuk menjadi pemain import antaranya ialah Pablo Gonzalez (Finland),  Majtaba Esmaeilzad (Iran),  Michal Hamulak (Slovakia), Tatsuro Inui (Jepun), Jordan Mintah (Ghana), Norichio Nieveld (Belanda), Tipuric Toni (Austria), Dicoy Williams (Jamaica) dan Karlo Kesinovic (Croatia).

Manakala, Weber akan menumpukan kepada pemain muda yang akan diganding dengan barisan berpengalaman dan membuat sasaran untuk meraih kedudukan empat teratas pada musim ini.