DPMM FC rai gelaran SPL

Oleh Fadhil Yunus

Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan dijunjung bergambar ramai bagi meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana AIA Singapura (SPL) 2019 di Stadium Mini Jerudong, petang tadi.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota yang juga Pengerusi Kelab DPMM FC turut berkenan dijunjung beramah mesra bersama kakitangan kejurulatihan, para pegawai kelab dan juga para pemain.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Brunei DPMM FC, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Dengan gelaran SPL dipamerkan petang tadi, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung untuk mengambil gambar secara berasingan bersama setiap anggota skuad DPMM FC serta kakitangan pengurusan kelab.

Selain itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota turut berkenan dijunjung bergambar ramai bersama kakitangan pengurusan kelab dan kakitangan kejurulatihan yang telah bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan kejayaan pasukan musim ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama juara SPL 2019 di Stadium Mini Jerudong, kelmarin. Turut hadir ialah YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Brunei DPMM FC telah berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai dan ramah mesra bersama Pasukan Brunei DPMM FC, juara Liga Perdana AIA Singapura (SPL) 2019 yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan dijunjung beramah mesra bersama ketua jurulatih, para pegawai kelab dan para pemain DPMM FC.

Di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Adrian Pennock, skuad ‘Gegar Gegar’ memenangi gelaran kejohanan berprestij buat kali kedua dalam sejarah selepas menang buat pertama kali pada tahun 2015.

Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas dianggap sebagai kubu pasukan berikutan persembahan konsisten dan mantap di laman sendiri, yang hanya keciciran empat mata termasuk tewas sekali musim ini.

DPMM FC yang baharu sahaja memenangi trofi SPL di gelanggang sendiri baru-baru ini, akan mengalih perhatiannya kepada perlawanan Piala Singapura dalam Kumpulan B menentang Hougang United di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

DPMM FC yang kini berada dua tempat di belakang skuad Cheetah akan menyempurnakan aksi peringkat kumpulan menentang juara bertahan Albirex Niigata (S) di Stadium Jurong East pada 23 Oktober.

DPMM FC layak melangkah ke peringkat kalah mati selepas penyerang Andrei Varankou memberikan gol penyamaan ketika seri 1-1 melawan Geylang International.