DPMM FC tarik diri dari SPL musim 2021

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Pasukan DPMM FC tidak akan bersaing dalam Liga Perdana Singapura (SPL) bagi musim 2021 disebabkan sekatan perjalanan akibat pandemik koronavirus, Persekutuan Bolasepak Singapura (FAS) mengesahkan perkara tersebut hari ini.

Kelab Brunei Darussalam itu telah memaklumkan kepada FAS mengenai keputusan mereka untuk menarik diri, serupa dengan langkah yang diambil pada Oktober lalu apabila liga disambung semula tanpa penyertaan kelab bekas juara itu.

“Kedua-dua pihak melakukan usaha penting untuk mencapai kata sepakat bagi penyertaan DPMM FC dalam liga, tetapi malangnya tidak berhasil,” menurut kenyataan dikeluarkan FAS.

“Walaupun situasi ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan, FAS menghargai sumbangan sedaya upaya yang dibuat oleh DPMM FC bagi menyambung semula SPL, tetapi ingin mematuhi dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Brunei demi membendung penularan virus.

“DPMM FC kekal menjadi bahagian integral SPL dan kami tidak sabar menantikan penyertaan mereka pada musim hadapan,” tambah FAS.

Aksi pemain-pemain DPMM FC menjalani latihan bertempat di Stadium Mini Jerudong.

SPL yang memasuki musim ke-26, akan dimulakan pada 13 Mac dengan penyertaan sebanyak lapan buah pasukan.

Perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran peminat, namun FAS akan mengkaji semula dengan membuat konsultasi bersama pihak berkuasa relevan sebaik sahaja musim bermula.

Hanya kakitangan penting sahaja dibenarkan berada di dalam padang semasa hari perlawanan dan protokol komprehensif perlawanan akan dilaksanakan bagi menjaga keselamatan mereka.

Sementara itu, kuota pemain import telah dikemas kini bagi musim 2021 sejajar dengan keperluan kelab kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiap pasukan SPL, tidak termasuk Albirex Niigata (S) dan Young Lions, dibenarkan untuk mendaftarkan paling banyak empat orang pemain import tanpa sekatan had umur, yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada pemain mestilah dari negara ahli persekutuan AFC.

Jumlah penggantian pemain bagi setiap pasukan akan ditukar kepada tiga orang manakala jumlah maksimum pemain pertukaran dibenarkan berada di bangku simpanan akan ditukar kepada tujuh orang pemain.

Jadual perlawanan telah dikeluarkan dengan pasukan juara bertahan Albirex Niigata (S) akan memulakan cabaran mempertahankan kejuaraan dengan pertemuan menentang Hougang United, manakala Lion City Sailors akan menentang Tampines Rovers FC.

Perlawanan terakhir DPMM FC di SPL mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tampines Rovers FC pada 6 Mac tahun lalu, tetapi keputusan tersebut dibatalkan susulan keputusan menarik diri.