BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Pasukan DPMM FC meningkatkan pemburuan mereka untuk berakhir di tangga kedua teratas dalam saingan Liga Perdana Singapura selepas bangkit dari belakang setelah ketinggalan satu gol untuk melakarkan kemenangan 2-1 menentang Pasukan Warriors FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Choa Chu Kang, Singapura semalam.
Pasukan ‘Gegar-Gegar’ itu mengekori Pasukan Tampines Rovers FC dan Home United FC, masing-masing yang berada di tangga kedua dan ketiga menerusi perbezaan jaringan. Pemain pertahanan Warriors FC, Kento Fukuda meletakkan jaringan pendahuluan bagi tuan rumah pada minit ke-34 tetapi Volodymyr Priyomov memastikan pelawat memasuki masa rehat dengan keputusan seri.
Pemain penyerang Ukraine itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 untuk memastikan pasukannya mendahului kedudukan.
Azwan Ali Rahman membuat hantaran ke dalam kotak penalti dan Shah Razen membuat tandukan tepat kepada Abdul Aziz Tamit tetapi pemain tengah itu terlepas dari kedudukan jarak dekat.
Pemain penyerang DPMM FC, Adi Said kemudian menyusul kedudukan tersebut dengan meledakkan rembatan kencang yang dapat dihadang pemain pertahanan tuan rumah dan menghasilkan sepakan sudut.
Ia adalah pergerakan yang menarik bagi Warriors FC ketika Shamil Sharif berjaya membuat hantaran lintang kepada Khairul Nizam menyaksikan tandukannya tepat kepada Fukuda. Pemain dari Jepun itu menyudahkan jaringan bagi mencatatkan gol keempatnya musim ini.
Pasukan pelawat menyamakan kedudukan selepas Priyomov yang tidak dikawal mendapatkan tandukan daripada Azwan Ali.
Beberapa minit kemudian Adi Said melakukan percubaan jarak jauh yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Warriors FC, Mukundan Maran.
Rembatan jarak jauh menerusi pemain penyerang Warriors FC, Fadhil Noh berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang DPMM FC, Haimie Anak Nyaring pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Sementara itu, Jonathan Behe berjaya menewaskan Abdul Aziz di tengah padang yang membahayakan pertahanan DPMM FC yang hanya dikawal oleh Brian McLean, bagaimana pun Sahil Suhaimi tidak dapat memanfaatkan kedudukan itu.
Shah Razen kemudian mendapatkan ruang untuk membuat larian ke kawasan lawan sebelum membuat hantaran kepada Azwan Ali, yang melepaskan rembatan yang tersasar.
Najib Tarif kemudian membuat hantaran ke dalam kotak penalti dan Adi Said mengawal bola untuk menghindarkan Ignatius Ang dan melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan Maran.
Bola yang berada dalam laluan Azwan Salleh yang kemudiannya menghantar ke tengah dan Priyomov melepaskan rembatan yang membawa kepada bantahan daripada pemain Warriors FC kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Pasukan Brunei DPMM FC seterusnya akan melayan kunjungan Tampines Rovers FC pada Sabtu ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.