Oleh Fadhil Yunus
SINGAPURA, 15 April – Pasukan DPMM FC mengalami kekalahan pertama pada musim ini apabila dua jaringan awal dari Pasukan Albirex Niigata (S) berjaya menundukkan DPMM FC dalam aksi Liga Perdana Singapura di Stadium Jurong East, Singapura semalam.
Pemain import Albirex Niigata (S), Adam Swandi menjaringkan gol pertama kurang daripada satu minit perlawanan dimulakan sebelum kapten pasukan itu, Wataru Murofushi menggandakan jaringan tiga minit kemudian.
Dengan ketiadaan Brian McLean akibat mengalami kecederaan dan Yura Indera Putera yang beraksi untuk pasukan kebangsaan, Reduan Petara digandingkan bersama Abdul Aziz Tamit di bahagian pertahanan DPMM FC dalam perlawanan itu.
Albirex Niggata (S) menduduki tangga pertama liga dan mempunyai rekod sempurna dengan tiga kemenangan dalam tiga perlawanan, manakala pasukan di bawah kendalian Rene Weber yang sudah beraksi sebanyak dua perlawanan itu memperoleh satu kemenangan dan satu kekalahan.
Pasukan ‘Gegar-Gegar’ akan meneruskan cabaran mereka menentang Geylang International FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada hari Selasa ini.