Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Hantaran cantik Ketua Pasukan DPMM FC, Shah Razen Said berjaya dimanfaatkan sebaiknya oleh adiknya, Adi Said pada minit-30 ketika menentang pasukan tuan rumah Home United di Stadium Bishan, Singapura, kelmarin.
Jaringan penyamaan buat skuad kendalian Rene Weber hanya mampu bertahan selama empat minit sebelum Song Ui-Young menghasilkan jaringan pada minit ke-34 dengan mendahului DPMM FC, 2-1.
Namun, pada minit ke-75, jaringan Sirina Camar telah memastikan Home United mengukuhkan kedudukan 3-1 hingga ke wisel penamat dan kemenangan itu merupakan kebangkitan Home United yang pertama musim ini setelah berjaya membolosi pertahanan DPMM FC seawal minit ke-10 menerusi jaringan Shakir Hamzah.
Menurut Ketua Jurulatih DPMM FC, Rene Weber, pasukan tuan rumah telah berjaya membuktikan kemampuan mereka hingga berjaya masuk ke peringkat akhir bagi merebut Piala Persekutuan Bola Sepak Asia yang sedang berlangsung ketika ini.
Malah, beliau turut menyatakan rasa kecewanya terhadap pengadil perlawanan berikutan insiden yang menimpa Adi Said setelah dikasari oleh Sirina Camara dan hanya dikenakan kad kuning, yang menurutnya seharusnya dikenakan kad merah kerana bertindak secara tidak profesional.

“Kami beraksi dengan baik dan sekiranya pengadil bersikap dengan sewajarnya kami pasti boleh menang perlawanan itu,” katanya.
Beliau malah turut mengakui kelemahan skuad kendaliannya yang kurang membuat percubaan ke gawang pasukan tuan rumah.
Perlawanan seterusnya antara DPMM FC dan Albirex Niigata (S) akan berlangsung pada 3 Jun depan di Stadium Jurong East, yang pastinya satu pertemuan yang sukar dan para pemainnya akan berusaha melakukan yang terbaik pada perlawanan itu nanti.
Dengan keputusan itu, kedudukan DPMM FC dalam Liga Perdana Singapura jatuh ke tangga keempat dan menyaksikan Young Lion berada di atas DPMM FC, namun begitu DPMM FC masih mempunyai baki dua perlawanan dan perlu memenangi kedua-dua perlawanan itu untuk menduduki tempat kedua liga.