DPMM FC tundukkan Indera SC

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – DPMM FC meneruskan rentak kemenangan mereka dalam kejohanan bola sepak Kumpulan B Liga Belia Bawah 15 Tahun Brunei selepas meraih kemenangan besar 10-0 menentang Indera SC yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong hari ini.

Aksi Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim memberi inspirasi kepada pasukannya dengan melakar hatrik pada separuh masa pertama.

Perlawanan bermula dengan YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mencetak gol pembukaan dalam perlawanan berkenaan.

Pasukan junior DPMM FC terus menggandakan kedudukan mereka setelah Safwan Zawawi Sazalee menemukan jaringan kedua menerusi hantaran lintang daripada ketua pasukan, Awangku Syafiq Hilmi.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim menjaringkan gol kedua melalui sepakan percuma dengan cemerlang untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum melengkapkan hatriknya setelah menjaringkan gol dari jarak dekat dalam serangan berikutnya.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim beraksi pada kejohanan bola sepak Kumpulan B Liga Belia Bawah 15 Tahun Brunei di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
Aksi YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa perlawanan menentang Indera SC dalam kejohanan bola sepak Kumpulan B Liga Belia Bawah 15 Tahun Brunei. – Gambar oleh Infofoto

Perlawanan itu kelihatan mudah bagi DPMM FC ketika Safwan menjaringkan gol keempat buat DPMM FC menerusi hantaran yang sempurna daripada Awangku Syafiq Hilmi.

Safwan menjaringkan hatriknya dengan tenang setelah menemukan ruang untuk masuk ke dalam kotak penalti lawan.

Indera SC mempunyai peluang terbaik mereka pada separuh masa pertama apabila penjaga gawang DPMM FC secara tidak sengaja melakukan kesilapan hantarannya tetapi rembatan Mohd Faizul Ikhwan tersasar.

Pertahanan Indera dibiarkan terdedah sekali lagi ketika Mohd Akram berjaya meledak gol ketujuhpasukan setelah mendapat ruang banyak.

Kapten DPMM FC melakukan hantaran pantas kepada Pengiran Anak Abdul Muta’ali Hamidullah sebelum menemukan gol kelapan pasukan melalui sepakan sudut.

Pasukan DPMM FC yang berpangkalan di Jerudong melakukan lebih banyak serangan terhadap Indera SC dengan dua gol lagi dijaringkan pada separuh masa kedua.