Dr M ulangi sokongan BRI

KUALA LUMPUR, 21 OKT – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun Malaysia secara amnya menyokong idea di sebalik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, namun negara ini masih perlu mengkaji strategi pembangunannya.

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan sensitiviti kaum masih utuh.

“Kami tidak mahu rakyat berfikir selepas dipengaruhi oleh barat sebelum ini, dan kini akan dipengaruhi pula oleh China.

“Saya percaya China akan mempunyai pengaruh besar ke atas seluruh dunia pada masa depan, tetapi pada masa ini bukan untuk kami menggalakkan idea dan ideologi China,” katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama di persidangan ISIS Praxis di sini, hari ini.

Mengulas soalan daripada hadirin mengenai komik yang diedarkan di sekolah untuk mempromosikan BRI China bertajuk ‘Belt and Road initiative for Win Winism’, Dr Mahathir berkata mempengaruhi minda generasi muda Malaysia merupakan tindakan yang tidak baik. – Bernama

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ kelmarin. – Bernama