PUTRAJAYA, 23 SEPT – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas musim banjir bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Bercakap kepada pemberita sele-pas mengadakan sesi dialog dan suai kenal bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini, Dr Mahathir berkata selain mengambil kira faktor keselamatan, bencana banjir juga menyukarkan pergerakan pengundi.
“Masa yang sesuai ialah waktu tenang bukan sewaktu bencana, tidak berlaku banjir atau angin kencang.
“Kalau musim banjir bukan sahaja sukarkan pergerakan malah mungkin mendatangkan musibah seperti kecederaan atau kematian.
“Sebab itu waktu banjir tidak sesuai untuk adakan pilihan raya,” katanya ketika ditanya tarikh yang sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
Beliau berkata setiap parti yang bertanding juga dapat membuat persediaan rapi sekiranya PRU15 diadakan bukan ketika musim banjir.
Dalam pada itu, beliau berkata Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum menetapkan calon yang akan mewakili gerakan itu pada PRU15. – Bernama