Dr Wan Azizah adakan lawatan rasmi ke London

LONDON, 6 Dis – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini kelmarin untuk lawatan rasmi selama tiga hari ke United Kingdom.

Pesawat yang membawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London di sini pada 3:25 petang waktu tempatan (waktu di Malaysia lapan jam lebih awal dari United Kingdom).

Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia Mohd Suhaimi Jaafar dan isteri Fazdiana Daud.

Di hotel penginapan beliau, Dr Wan Azizah disambut oleh Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya dan para pegawai dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ketua-ketua jabatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Ini merupakan lawatan sulung rasmi Dr Wan Azizah ke UK selepas dilantik timbalan perdana menteri pada 21 Mei selepas Pakatan Harapan mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018, forum dwi tahunan selama dua hari yang menghimpunkan para pemimpin dasar, ahli parlimen, pakar dan sarjana, komuniti antara agama, aktivis, pengamal pembangunan dan pemimpin korporat.

Semasa lawatan, beliau mempunyai jadual yang padat termasuk melawat ke Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari metropolitan London, dan mengambil bahagian dalam perbincangan dengan para sarjana.

Dr Wan Azizah juga akan bertemu rakyat Malaysia yang menetap di UK pada ‘Sesi Ramah Mesra Rakyat Malaysia Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri’ yang akan diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini. – Bernama

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018 di Lambeth Palace, semalam. – Bernama