Drama percintaan antara putih dan hitam

Oleh Adiiwira

Meskipun sehingga kini negara kita mencatatkan angka sifar kes COVID-19, negara masih lagi di bawah ancaman virus berkenaan.

Namun baru-baru ini langkah-langkah penjarakan sosial di negara ini telah mula dikurangkan. Salah satu daripadanya adalah apabila panggung wayang telah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan tetap melakukan penjarakan sosial bagi membendung penularan penyakit.

Walaupun begitu, sesetengah orang masih merasa risau untuk menonton wayang kerana khuatir diri terdedah dengan penyakit itu. Berada di rumah dan menonton televisyen bersama keluarga adalah lebih selamat bagi mereka.

Bagi mereka yang tetap tegar bertahan di rumah masing-masing, anda tidak perlu merasa khuatir kerana terdapat drama-drama baharu juga turut disiarkan di pelbagai rangkaian televisyen. Pada ruangan kali ini, penulis memilih dua buah drama Melayu yang disiarkan melalui rangkaian TV3 iaitu Bila Cupid Jatuh Cinta dan 7 Hari Mencintaiku 2.

Drama Bila Cupid Jatuh Cinta ini merupakan siri drama yang diarahkan oleh Bahri Uma dan diterbitkan oleh Orange Tree Production Sdn Bhd. Drama 10 episod ini mula disiarkan pada 4 Julai lalu dan dibintangi oleh Aiman Hakim, Oktovia Manrose, Ikmal Amry, Bella Dowanna dan ramai lagi.

Drama Bila Cupid Jatuh Cinta ini merupakan siri drama yang diarahkan oleh Bahri Uma. – Agensi
Drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang merupakan kesinambungan drama adaptasi novel 7 Hari Mencintaiku. – Agensi
Barisan pelakon yang turut menjayakan 7 Hari Mencintaiku 2. – Agensi
Antara barisan pelakon yang membintangi drama Bila Cupid Jatuh Cinta. – Agensi

Drama ini mengisahkan tentang Fira (Oktovia Manrose) yang bekerja di agensi mencari jodoh yang ditugaskan mencari calon pasangan untuk anak kepada rakan karib bosnya, Dani (Aiman Hakim). Tanpa dijangka, malah Fira sendiri yang terjatuh hati dengan Dani.

Pada pandangan penulis, daripada sinopsis di atas menunjukkan drama-drama Melayu tidak pernah lari dengan konsep penceritaan yang dikaitkan dengan cinta. Apa saja kisah yang diceritakan, tidak kira seram, sedih, aksi dan sebagainya tetap menyelitkan tentang cinta.

Konsep cinta ini mudah sebenarnya, kerana cinta boleh digambarkan melalui dua sudut antara putih (baik atau gembira) dan hitam (jahat atau sakit). Dalam hal ini, penulis bertanggapan cinta itu boleh membawa kebahagiaan dan ia juga boleh membawa kesengsaraan. Sebagaimana dalam drama Bila Cupid Jatuh Cinta ini, ia lebih kepada sudut putih kerana ia membawa kebahagiaan, di mana watak Fira digambarkan jatuh cinta secara tulusnya kepada anak kliennya, Dani.

Justeru, pelbagai cara yang dilakukan oleh Fira demi mendekatkan diri dan berjaya menambat hati Dani untuk turut mencintainya. Fira ini juga digambarkan watak menyunting kumbang dahulu, kerana watak wanita pula bersungguh-sungguh mencari cinta sejati berbanding dengan watak lelaki.

Menyentuh pula cinta dari sudut hitam pula, bagi penulis sudut ini lebih sesuai digunakan dalam penceritaan kekeluargaan atau sesuatu yang berkaitan dengan dendam. Itulah yang digarap dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang merupakan kesinambungan drama adaptasi novel 7 Hari Mencintaiku karya Siti Rosmizah yang disiarkan di slot Akasia TV3 yang mula disiarkan pada 2 Julai lalu. Drama 33 episod ini menemukan kembali gandingan Shukri Yahaya dan Siti Saleha yang diterbitkan oleh SR One Sdn Bhd dan diarahkan oleh Jamal Khan.

Drama ini mengisahkan tentang Mia Adriana (Siti Saleha) dan Khuzairi (Shuhkri Yahya) melayari hidup bahagia berumah tangga. Khuzairi betul-betul gembira selepas mengetahui isterinya mengandung anak yang kedua. Mia pula belum bersedia kerana dia takut jika sepanjang kehamilannya, rumah tangganya bergolak dan terpaksa bersalin sendirian sepertimana dia bersalinkan Alisa dahulu.

Helmi pula mula bersikap dingin dengan Sofi disebabkan mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Helmi terlalu mengharapkan anak dari perkahwinannya lebih-lebih lagi selepas dia mengetahui Mia mengandung anak yang kedua. Puan Hayati pula berjaya dengan rancangan jahatnya, di mana Nadia tiba-tiba mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan dengan Zaidi disebabkan cintanya beralih arah kepada Fariz, lelaki yang dikenali melalui Puan Hayati. Pak Samad mengamuk, begitu juga dengan Mak Leha.

Demi isterinya, Khuzairi sanggup buat apa sahaja di mana dia tidak akan mengambil Syakila bekerja di kliniknya walaupun pada mulanya dia sudah pun bersetuju disebabkan Syakila merayu-rayu kepadanya. Mia tahu niat sebenar Syakila ingin bekerja di klinik adalah untuk memikat Khuzairi semula kerana Khuzairi adalah cinta sejatinya. Manakala rumahtangga Helmi dan isterinya Sofi tidak lagi aman selepas bapa mertuanya, Datuk Johari tinggal bersama-sama.

Helmi bertengkar dengan Dato Johari. Helmi kemudiannya menceraikan Sofi disebabkan mandul. Dia berhasrat akan berkahwin dengan kekasihnya Linda.

Daripada sinopsis berkenaan, penulis mahu menyerlahkan sudut hitam percintaan yang dapat dikaitkan dengan drama tersebut.

Pertama sekali, pada watak Mia Khuzairi, di mana penulis melihat hubungan rumah tangga mereka sebenarnya belum direstui oleh Puan Hayati kerana dia mencari jalan agar Mia bercerai dengan Khuzairi akibat dendam. Oleh itu, percintaan Mia dan Khuzairi dalam keadaan sengsara malah watak Mia sendiri digambarkan takut rumah tangganya bergolak dan terpaksa bersalin sendirian.

Perihal kedua yang dapat dilihat kesengsaraan dalam percintaan ini adalah watak Helmi dan Sofi.

Penulis melihat hubungan rumah tangga kedua-dua watak ini agak goyah. Satu disebabkan perasaan iri hati Helmi terhadap pasangan Mia dan Khuzairi kerana sudah memiliki dua orang anak dan merasakan isterinya Sofi mandul. Kedua dihangatkan lagi dengan sikap bapa mertuanya Dato Johari yang merendah-rendahkan diri Helmi.

Jelas percintaan dalam kesengsaraan ini dapat digambarkan melalui dua watak tersebut, di mana sehinggakan watak Helmi menceraikan Sofi.

Secara kesimpulannya, meskipun drama-drama Melayu ini tidak terlepas dari mengaitkan unsur cinta dalam penceritaannya, namun terdapat unsur percintaan dari sudut putih dan juga hitam.

Namun, ini hanyalah pandangan menulis dan kedua-dua drama tersebut tetap seronok untuk ditonton dan kita secara tidak langsung mendapat pengajarannya.

Ini kerana tidak kisahlah drama, wayang atau penulisan sama ada dari kisah nyata atau bukan, penceritaan yang digambarkan adalah untuk kita mengetahui kisahnya dan apa yang perlu kita ambil iktibar yang dapat di terima.