Dron digunakan secara meluas termasuk malam

KUALA LUMPUR, 29 MAC – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dilihat menggunakan dron secara meluas bagi mengawal dan memantau pergerakan orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April nanti.

Jika sebelum ini digunakan pada sebelah siang, penggunaan dron kini diperluaskan pada sebelah malam yang menyaksikan dron ATM, umpamanya, digunakan dalam ‘Op Penawar’ bermula malam tadi bagi memantau pola pergerakan orang awam di pusat bandar serta di sekitar Lembah Klang selain turut digunakan di kawasan zon merah wabak COVID-19.

Dilancarkan empat hari lepas, lebih 10 unit dron yang dilengkapi dengan alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara yang boleh memantau pergerakan individu secara lebih meluas di kawasan sempit telah digunakan.

Apa yang menariknya, dron yang digunakan ini juga berupaya memberikan siren amaran dan nasihat kepada masyarakat untuk mematuhi PKP dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Antara lokasi penggunaan dron itu ialah di tempat-tempat tumpuan awam seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit dan Little India Brickfields.

Cara sebegini dilihat efektif bagi menyampaikan amaran dan maklumat di kawasan lebih luas dan jauh kerana masih ramai individu gagal mematuhi arahan apabila masih banyak kenderaan dilihat berada di jalan walaupun PKP sudah memasuki hari ke-12, hari ini. – Bernama

Rakaman gambar dron yang sedang berlegar di udara ketika tinjauan penggunaan dron oleh Angkatan Tentera Malaysia dalam tugasan OP Penawar di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, pada 28 Mac. – Bernama