Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Dron hantar bekalan ubat dilancar di Jepun

    TOKYO, 21 APRIL – Zipline, sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) yang pakar dalam menggunakan dron penerbangan automatik untuk menghantar bekalan perubatan, telah dilancarkan di Jepun.

    Dron mula terbang hari ini di seluruh Pulau Goto, di luar pantai barat Kyushu, barat daya Jepun, membuat hantaran ke farmasi dan hospital.

    Kawasan lain Jepun mungkin menyusuli, termasuk kawasan bandar, walaupun keperluan terbesar cenderung terletak di kawasan luar bandar terpencil.

    Zipline, ditubuhkan enam tahun lalu, telah pun beroperasi di AS, di mana ia telah bergabung dengan Walmart Inc untuk menghantar produk lain dalam rantaian runcit serta ubat-ubatan. Ia juga menghantar produk perubatan di Ghana dan Rwanda.

    Pelancarannya di Jepun adalah dengan perkongsian bersama Toyota Tshusho, kumpulan syarikat pengeluar kereta Jepun Toyota Motor Corp.

    Gambar serahan Zipline menunjukkan sebuah dron berlepas untuk menghantar ubat-ubatan di hab Zipline di Vobsi, Ghana. – AP

    “Awda boleh mengubah sepenuhnya cara awda bertindak balas terhadap pandemik, merawat pesakit dan melakukan kerja seperti penghantaran jagaan kesihatan rumah,” beritahu Ketua Eksekutif Zipline Keller Rinaudo kepada The Associated Press.

    Walaupun dron telah digunakan di Jepun untuk fotografi dan pameran udara, seperti Olimpik Tokyo tahun lalu, ia tidak digunakan secara meluas, terutamanya di kawasan bandar disebabkan peraturan.

    Rinaudo berasa optimistik teknologi itu akan diterima di negara yang terkenal dengan kehandalan dalam bidang robotik, yang mempunyai populasi terdiri sebahagiannya daripada warga emas tetapi memerlukan penjagaan kesihatan yang lebih baik di kawasan terpencil.

    “Komuniti akan memahami nilai perkhidmatan. Ia juga lebih mudah untuk memujuk pengatur selia agar menerima apa yang sedang kami lakukan apabila setiap penerbangan berpotensi menyelamatkan nyawa manusia,” kata Rinaudo.

    Dengan menghantar ubat, perkhidmatan itu membantu mengurangkan simpanan stok dan pembaziran. Penerbangan pelepasan sifar itu boleh berjalan sejauh 300 kilometer dan tidak mahal berbanding dengan mod pengangkutan lain, menurut Zipline, berpangkalan di San Francisco Selatan, California. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...