Mengebumikan mayat, bagaimanakah caranya?

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri 1

Menguburkan mayat antara empat perkara dalam pengurusan jenazah dan hukumnya adalah fardu kifayah. Walaupun ia merupakan fardu kifayah kita juga dituntut mempelajarinya. Mempelajari cara menguburkan mayat ini adalah penting untuk diketahui terutamanya kepada ahli waris lelaki bagi si mati kerana mereka inilah yang akan banyak melaksanakan perkara yang berkaitan dengan urusan pengebumian jenazah ini.

Tempat mengubur

Menguburkan mayat di kawasan tanah perkuburan adalah afdal berbanding dari tempat yang lain. Ini kerana tanah perkuburan itu tidak kosong daripada doa orang-orang yang berziarah dan orang-orang yang lalu di sana. Nabi SAW sendiri menguburkan mayat kaum kerabat dan para sahabat Baginda di tanah perkuburan Baqi‘. Begitu juga, afdal menguburkan mayat di tanah perkuburan yang masyhur dengan kubur orang-orang yang soleh.

Haram menguburkan mayat orang kafir di tanah perkuburan orang Islam dan begitu juga sebaliknya mayat orang Islam haram dikubur di tanah perkuburan orang kafir.

Manakala menguburkan mayat pada tanah yang ada di dalamnya bekas mayat yang terdahulu adalah haram, kecuali apabila tubuh mayat dan tulang sudah menjadi tanah maka bolehlah dikubur di tempat itu.

Jika seorang Islam mati ketika berada di tengah laut dan berada dekat pantai yang membolehkan untuk mereka berlabuh ke daratan, maka adalah wajib bagi temannya atau mereka yang ada bersamanya untuk pergi ke pantai untuk menguruskan jenazahnya seperti lazimnya iaitu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkannya di pantai itu atau di daratan itu. Akan tetapi jika dirasakan tidak boleh pergi mendarat ke pantai kerana jarak yang jauh atau takut kepada musuh atau binatang buas maka tidak wajib ke pantai untuk menguburkannya.

Mengebumikan mayat antara empat perkara dalam pengurusan jenazah dan hukumnya adalah fardu kifayah. – Agensi

Namun wajib memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya kemudian menghanyutkan dengan mengikat pada dua papan kayu. Tujuannya ialah berkemungkinan mayat itu akan terdampar di pantai dan berharap ada orang yang akan menjumpainya untuk menguburkannya nanti.

Kedalaman dan keluasan kubur

Sekurang-kurang lubang kubur itu ialah lubang yang dapat menahan dari menimbulkan bau yang busuk dan mencegah binatang buas dari membongkar kuburan itu untuk memakan mayat dalam kuburan itu.

Hikmah kewajipan menguburkan mayat itu bertujuan supaya tidak membinasakan kehormatan mayat dengan bau yang terbit sehingga boleh menarik perhatian binatang buas untuk memakannya, maka hendaklah perkara ini dielakkan.

Untuk menepati maksud mencegah dari menimbulkan bau dan perhatian binatang buas itu maka sunat meluaskan dengan menambah panjang dan lebar lubang kubur itu, dan mendalamkannya dengan kadar berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua tangannya ke atas. Maka kadar sukatan berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua tangannya ke atas itu adalah kira-kira empat hasta setengah.

Rasullullah SAW bersabda mengenai orang yang syahid dalam peperangan Uhud yang maksudnya:

“Kamu galilah (lubang kubur mereka), dan luaskanlah, dan dalamkanlah.” (Hadits riwayat an-Nasa’ie)

Jika tanah itu keras maka lebih utama membuat liang lahad di dalam kubur itu, iaitu lubang yang dibuat di dasar sebelah tepi kubur yang ukurannya sekadar muat untuk membaringkan mayat dan menghadapkannya ke arah kiblat.

Liang lahad itu ialah lubang kecil sebesar tubuh mayat yang digali dengan tujuan menghadapkan mayat ke arah kiblat.

Mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam kubur

Adalah sunat menutup kubur dengan kain ketika sedang menguburkan mayat itu walaupun mayat itu lelaki, apatah lagi mayat perempuan lebih dituntut lagi kerana ditakuti anggota mayat itu terdedah ketika melaksanakan kerja menguburkannya.

Sunat mengangkat mayat dan mengusungnya sehingga pada bahagian akhir kaki kubur iaitu liang lahad kubur dan meletakkan bahagian kepalanya dahulu dengan perlahan sepertimana sunnah Rasullullah SAW.

Sunat membaca sepertimana yang dibaca oleh Nabi SAW ketika Baginda meletakkan mayat ke dalam kubur atau liang lahad Baginda membaca yang maksudnya:

Maksudnya:”Dengan nama Allah dan dengan sunnah Rasullullah SAW.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Meletakkan mayat ke dalam liang lahad adalah sunat pada lambung rusuknya sebelah kanan dan wajib menghadapkannya ke arah kiblat. Jika mayat itu di kubur dalam keadaan menelentang maka wajib digali jika keadaan mayat itu masih belum berubah.

Namun jika sudah berubah, maka tidaklah perlu digali. Akan tetapi jika dikubur pada lambung rusuknya sebelah kiri hukumnya adalah makruh dan tidak perlu digali. Keadaan ini adalah seperti berbaring menyiring ketika hendak atau sedang tidur.

Sunat menyandarkan muka dan kaki mayat itu pada dinding kubur dan menyandarkan pada punggungnya dengan batu bata atau seumpamanya seperti tanah untuk mengelak mayat itu dari (istilqa’) menelentang.

Setelah itu liang lahad itu hendaklah ditutup dengan batu bata kerana lebih terpelihara daripada dibongkar oleh binatang buas.

Setelah selesai meletakkan mayat ke dalam liang lahad dan sudah ditutup dengan batu bata atau seumpamanya, maka disunatkan setiap orang yang hadir atau menyaksikan pengkebumian itu meraupkan tanah dengan kedua tangannya dengan tiga kali raup dan dijatuhkan setiap tanah yang diraup itu pada bahagian arah kepala dengan bacaan-bacaan tertentu.

Bacaan menjatuhkan tanah yang pertama yang membawa erti “Daripadanya (tanah) Kami ciptakan kamu.”

Bacaan menjatuhkan tanah yang kedua yang membawa erti, “Kepadanya (tanah) Kami kembalikan kamu.”

Bacaan menjatuhkan tanah yang ketiga yang membawa erti, “Dan daripadanya (tanah) kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

Siapa yang lebih utama mengangkat mayat?

Orang yang mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam kubur hendaklah dari kalangan lelaki walaupun mayat itu perempuan kerana sememangnya dari segi tenaga kaum lelaki adalah kaum yang kuat, dan kaum perempuan adalah kaum yang lemah.

Rasullullah SAW telah memerintahkan Abu Thalhah Radhiallahu ‘anhu untuk memasukkan anak Baginda Ummu Kulsum walaupun Fatimah sebagai mahramnya ada. Ini jelas menunjukkan bahawa lelaki adalah lebih utama memasukkan mayat ke dalam kubur.

Dan yang lebih utama dari kalangan lelaki itu adalah orang yang ada kelayakan untuk mengerjakan sembahyang iaitu orang yang lebih tinggi ilmu pengetahuannya. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga lebih utama daripada orang tua.

Begitu juga keluarga yang berilmu lebih utama dari keluarga yang tidak berilmu.

Jika yang mati itu si isteri, maka yang utama menyambut di dalam kubur dan mamasukkan ke liang lahad itu adalah suami, walaupun dia bukanlah dari orang yang lebih layak dalam mengerjakan sembahyang.

Jika tidak ada suaminya maka bolehlah mengikut urutan yang lebih berhak dari keluarganya iaitu dari bapanya, neneknya, anaknya, cucu lelaki dari anak lelakinya, adik beradik lelaki, anak dari adik beradiknya lelaki, dan seterusnya mengikut urutan yang lebih berhak.

Berapakah bilangan orang yang masuk ke dalam kubur?

Bilangan orang yang masuk ke dalam kubur untuk menyambut, mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam kubur itu adalah sunat dalam bilangan yang ganjil seperti tiga orang mengikut keperluan hajat sebagaimana Rasullullah SAW diangkat dan dimasukkan ke dalam kubur oleh seramai tiga orang iaitu Ali, Ibnu ‘Abbas dan Fadhl. Dalam riwayat yang lain pula Baginda dimasukkan ke dalam kubur oleh lima orang ditambah lagi dengan Usamah bin Zaid dan Abdul Rahman bin ‘Auf.

Meninggikan kubur dan meratakan

Sunat tinggikan tanah perkuburan itu dengan kadar lebih kurang sejengkal kerana kubur Rasullullah SAW ditinggikan sejengkal. Dan lebih digalakkan (Mustahab) tanah timbusan itu tidak ditambah lagi dengan tanah yang lain selain tanah yang dikeluarkan sebelumnya. Namun jika ditambah tidaklah mengapa.

Menurut pendapat yang sahih adalah lebih utama meratakan kubur daripada membungkulkannya. Ini juga sepertimana kubur Rasullullahi SAW dan para sahabat baginda.

Mengebumikan mayat-mayat dalam satu kuburan

Tidak boleh menguburkan dua mayat dalam satu kubur sama ada mayat lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan ataupun lelaki dengan perempuan melainkan dalam keadaan sangat darurat.

Keadaan darurat itu ialah seperti jumlah mayat terlalu ramai dan sukar untuk dikubur seorang demi seorang dalam satu kuburan, dan banyaknya orang mati dalam suatu wabak, atau mangsa runtuhan, atau mangsa kapal karam.

Maka dalam keadaan darurat ini boleh menguburkan dua, tiga atau lebih mayat dalam satu kubur dan hendaklah dibatasi antara lelaki dan perempuan itu dengan tanah.

Apabila dalam satu kubur itu diletakkan lebih daripada satu mayat, maka mayat yang lebih utama untuk diletakkan pada dinding kubur menghala arah kiblat ialah mayat yang mempunyai lebih keutamaan sepertimana keutamaan menjadi imam.

Oleh itu, didahulukan orang dewasa dari kanak-kanak seperti bapa dari anak lelaki, ibu dari anak perempuan, tetapi anak lelaki didahulukan dari ibunya, dan didahulukan orang muda dari kanak-kanak, kanak-kanak dari pondan, pondan dari perempuan.