KYIV, UKRAINE, 9 JUN – Sebuah dron telah merempuh bangunan kediaman bertingkat di barat daya Rusia berhampiran sempadan dengan Ukraine, kata gabenor wilayah itu hari ini, mendedahkan kelemahan terbaharu dalam sistem pertahanan udara negara itu ketika perang Presiden Vladimir Putin di Ukraine semakin menjejaskan tanah Rusia.
Serangan dron terbaharu yang menyasarkan bandar-bandar Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini mencederakan tiga orang dan berlaku di tengah-tengah asakan barisan hadapan tentera Ukraine, selepas bahagian selatan dan timur Ukraine dicerobohi oleh Rusia lebih dari 15 bulan yang lalu.
Laman web presiden Ukraine menyiarkan kenyataan video semalam daripada Presiden Volodymyr Zelenskyy yang merujuk kepada usaha terbaharu tentera negaranya untuk menghalau penceroboh Rusia, di sepanjang bahagian garisan hadapan lebih 1,000 kilometer.
Berucap di dalam apa yang kelihatan seperti kereta api selepas melawat selatan Ukraine yang dilanda banjir semalam, Zelenskyy berkata, ‘belum masanya’ untuk bercakap mengenai butiran pertempuran. Beliau bagaimana mengatakan berhubung dengan tentera Ukraine ‘di semua kawasan pertempuran dan ketegangan yang sedang berlaku’ dan memuji ‘hasil’ yang tidak diperincikan daripada usaha mereka.
Pegawai Ukraine secara amnya mendiamkan diri mengenai langkah ketenteraan terbaharu mereka, enggan menyertai ulasan yang semakin meningkat daripada pakar tentera Barat dan lain-lain bahawa serangan balas – kritikal untuk usaha ketenteraan yang dibiayai oleh Barat – sedang dijalankan.
Penganalisis dan laporan Rusia menunjukkan bahawa tentera Ukraine telah aktif di sekitar bandar Bakhmut, yang sebahagian besarnya musnah dalam pertempuran berdarah selama berbulan-bulan, serta menjalankan operasi penyiasatan di sekitar kawasan yang diduduki Rusia di wilayah Donetsk dan Zaporizhzhia. – AP
