LATVIA – Di kelilingi dengan kawasan perhutanan yang ditutupi dengan salji putih, sebuah tasik di pedalaman Latvia, Tasek Ninieris menjadi sebuah lokasi hebat dalam penggambaran suasana musim salji yang sangat indah dan mempesonakan.
Namun baru-baru ini, suasana itu menjadi heboh dan digemparkan dengan dron yang berterbangan di kawasan tasik itu namun kali ini, dron itu telah diubahsuai dan para peluncur berjalan di atas ais beku tasik berkenaan bersama dengan papan luncur dan menelusuri tasik beku itu bersama-sama dengan dron tersebut.
Dron yang dilengkapi dengan kuasa tinggi itu berukuran sembilan kaki panjang dan dipasang bersama 16 kipas kecil serta dilengkapi dengan pemegang sebagaimana yang digunakan oleh kebanyakan peluncur air.
Dua orang peluncur papan salji memegang tali yang diikat pada dron dan meluncur di atas tasik membeku sementara dron tersebut bergerak bersama-sama dengan peluncur itu dan melakukan pelbagai aksi lompatan dan stunt yang menakjubkan.
Sementara salji membasahi papan luncur mereka, beberapa penonton berpeluang menyaksikan aksi itu yang terdiri daripada para peluncur tempatan dan para nelayan. Kebanyakan mereka merasa terpegun dengan aksi itu dan tidak pernah dilihat sebelum ini malah mereka beranggapan bahawa aksi ini mungkin sangat sesuai untuk dijadikan sebagai salah satu sukan ekstrem, ‘Droneboarding’.

Penciptaan dron tersebut telah dibuat oleh pakar Latvia, Aerones dan telah meletakkan inovasi mereka itu dalam aksi percubaan dan apa yang pasti dron tersebut berpotensi untuk membawa empat peluncur dalam satu masa dan melakukan pelbagai aksi yang begitu menakjubkan.
Ujian yang berjaya
“Nampaknya ia satu percubaan yang berjaya dan berjalan lancar. Kami mula berfikir untuk melakukan ujian ini pada dua tahun yang lepas namun tidak kesampaian. Malah pada hari ini, idea tersebut telah berjaya diselenggarakan dan ia menjadi satu perkara yang mustahil untuk direalisasikan,” kata salah seorang peluncur, Janis Putrams kepada wartawan AFP.
Janis juga bertanggungjawab dalam mengawal dan memandu dron tersebut ke arah dan lokasi yang diinginkan.
Sebelum mereka mencipta dron besar itu, para ahli inovasi itu terlebih dahulu mencipta satu dron kecil dengan menggunakan empat kipas pada tahun lepas. “Namun satu idea telah terbina untuk membina satu lagi dron yang lebih besar dan melihat serta menilai setinggi mana kuasanya untuk digunakan. Latvia sangat bertuah kerana berjaya menghasilkan beberapa jurutera yang kreatif dan musim sejuk yang indah, oleh itu ia sangat sesuai untuk ‘Droneboarding’,” tambah Putrams lagi kepada wartawan AFP.
Berdasarkan beberapa teori, dron itu mempunyai kelajuan sekitar 150 kilometer sejam iaitu sekitar 94 batu dalam masa satu jam namun untuk memandu dron tersebut sangat mencabar dan sukar jika mencapai tahap kelajuan itu dan kini, dron tersebut akan mampu terbang sekitar 60 kph dan ideal untuk melakukan aktiviti ‘Droneboarding’.
Menyelamatkan nyawa?
Walaupun jangka waktu penerbangan dron tersebut masih dihadkan kepada 10 minit disebabkan menggunakan bateri dan berat dron tersebut yang dianggarkan sekitar 55 kilogram namun masih mampu menampung maksimum 145 kilogram.

“Walaupun berada di musim sejuk, sukan ‘Droneboarding’ itu memang berpotensi untuk diketengahkan dan dimasukkan dalam satu aktiviti sukan serta apa yang penting ialah bagaimana untuk memperkembangkannya selaras dengan kuasa alat itu,” tambah Putrams lagi kepada wartawan AFP.
Dron tersebut dianggarkan bernilai sekitar 35,000 euro iaitu AS$37,000 dan dibangunkan oleh organisasi Aerones. Organisasi IT itu berusaha untuk mencari lagi rakan kongsi dalam memperkembangkan alat gajet itu malah organisasi itu sekarang bekerjasama dengan pihak bomba dan penyelamat untuk menggunakan dron itu sebagai salah satu alat dalam misi mencari dan berkemungkinan besar akan terus diperkembangkan ke peringkat seterusnya.
“Ia bukan sahaja hanya tertumpu kepada ‘Droneboarding’ sahaja malah dron ini sebenarnya berpotensi untuk mengangkat seorang individu dari bumbung sebuah rumah yang terbakar dan menyiram air dari udara daripada menggunakan tangga untuk menyelamatkan,” kata Putrams meyakinkan wartawan AFP.
“Sebenarnya kami merasa optimistik tentang apa yang akan berlaku terhadap perusahaan yang kami jalankan malah kami akan memerlukan banyak sijil bagi melihat dengan lebih luas operasi dron sekarang ini secara komersial bagi memastikan keselamatan dron terjamin dan berkualiti namun setakat ini semakin ramai peluncur tertanya-tanya, adakah banyak lagi sukan-sukan musim salji yang mungkin dapat diketengahkan,” tambah Putrams lagi.
“Ia adalah sangat menarik dan menakjubkan. ‘Droneboarding’ ini sebenarnya lebih senang berbanding dengan aktiviti sukan meluncur bukit dan gunung serta anda tidak perlu lagi untuk menaiki bukit untuk mendapatkan kelajuan yang diinginkan. Ia menarik dan anda mampu mengawal gerakan anda dengan menggunakan dron ini,” kata Davis Ceze, salah seorang peluncur kepada wartawan mengakhiri temu ramah bersama wartawan. – AFP