DSA 2022 pamer sistem pertahanan terkini

KUALA LUMPUR, 28 MAC – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia ke-17, yang berlangsung dari 28 hingga 30 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut menghadiri pameran tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan ABDB.

Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein dan Menteri Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainudin. Sebanyak 1,500 syarikat dan 60 buah negara telah mengambil bahagian dalam pameran DSA 2022 yang mempamerkan teknologi, sistem dan perkhidmatan yang terkini mengenai pembangunan industri pertahanan dan sekuriti.

Semasa hari pertama pameran DSA 2022, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin, di mana kedua-dua pihak telah menggariskan ikatan pertahanan yang sangat kukuh dan turut mengambil peluang untuk membincangkan pelbagai isu strategik yang berkepentingan bersama termasuk situasi keselamatan global semasa.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin turut mengadakan perjumpaan dua hala bersama Setiausaha Pertahanan Nasional Republik Filipina, Yang Berhormat Delfin N. Lorenzana dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Yang Berhormat Leftnan Jeneral TNI (Purnama) Prabowo Subianto.

DSA 2022 merupakan edisi ke-17 dan adalah salah satu pameran pertahanan antarabangsa yang berprestij di mana ia dihoskan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan dikendalikan oleh DSA Exhibition and Conferences Sdn Bhd, dengan sokongan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MDIC).

Pameran ini juga merupakan salah satu platform yang bersesuaian untuk dihadiri oleh KEMENTAH dan ABDB dalam memberikan peluang bagi penglibatan industri dalam teknologi dan sistem pertahanan yang penting untuk merealisasikan perkembangan keupayaan KEMENTAH dan ABDB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri DSA dan NATSEC Asia ke-17 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Mac di MITEC. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan