DST, Baiduri bekerjasama lancar e-Wallet

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – DST selaku syarikat telekomunikasi terbesar di Negara Brunei Darussalam dan Bank Baiduri telah menandatangani memorandum persefahaman untuk bekerjasama melancarkan e-Wallet baharu di negara ini.

Majlis penandatanganan berlangsung di Tingkat 12, Ibu Pejabat DST, Tungku Link, hari ini, dengan menandatangani bagi pihak DST ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Radin Sufri bin Radin Basiuni manakala Bank Baiduri diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ti Eng Hui.

Perkongsian itu akan membolehkan Bank Baiduri selaku pengeluar kad pembayaran dan pangkalan pedagang terbesar di Brunei, dan DST yang mempunyai pelanggan mudah alih terbesar, berkongsi sumber dan ekosistem pembayaran digital terbesar di Brunei dengan sambungan kepada platform-platform pembayaran serantau dan antarabangsa.

Ini bermakna pengguna telefon bimbit DST yang melanggan e-dompet akan dapat membayar bagi barangan dan perkhidmatan menggunakan ciri-ciri pembayaran digital pada telefon mereka di dalam negara dan antarabangsa.

Platform e-wallet berkenaan dijangka dilancarkan pada tahun depan dan akan menggunakan teknologi Near Field Communications (NFC) yang akan membolehkan pengguna membayar di terminal-terminal kad dengan hanya ‘mengetik’ telefon mereka, serta melalui pengimbasan kod QR.

Setelah dilancarkan, ia akan tersedia untuk semua pengguna DST yang baharu dan sedia ada di seluruh negara serta diterima di lebih 2,000 cawangan pedagang Bank Baiduri. Selain itu, ia juga boleh disambungkan kepada platform-platform pembayaran serantau, jadi pengguna boleh menggunakannya di luar negara. Radin Sufri dipetik sebagai berkata, “Kami berharap ini akan menjadi pencetus bagi DST dan Baiduri bagi memperkasa generasi kita ke arah Negara Pintar.

“Dengan liputan meluas kami kepada penduduk negara ini, kami mahu pelanggan dapat menggunakan dompet mudah alih mereka di seluruh jangkauan pedagang DST dan Bank Baiduri,” tambahnya. Beliau juga menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk meningkatkan pengalaman pembayaran bagi para pelanggan mereka secara kolektif dan melihat peluang besar untuk memacu penggunaan pembayaran mudah alih dalam menyokong inisiatif ekonomi yang dinamik dan mapan di bawah Wawasan Brunei 2035.

Sementara itu, Ti Eng Hui pula menyatakan rasa gembira kerana DST telah memilih Bank Baiduri untuk bekerjasama bagi projek penting berkenaan.

Ti Eng Hui (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Raden Sufri.
Majlis penandatanganan perjanjian antara DST dan Baiduri.