DST, Bank Baiduri lancar DSTPay

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – DST dengan kerjasama Bank Baiduri telah melancarkan DSTPay, aplikasi dompet mudah alih digital yang membolehkan pengguna membuat transaksi dengan mudah dengan hanya mengimbas kod QR.

Pelancarannya telah dilakukan secara digital dengan pelancaran post video pada akaun media sosial DST pada 8 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DST, di sini, sebelum pelancaran DSTPay, DST dan Bank Baiduri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 2019 untuk sama-sama melancarkan dompet digital.

Ia direka dengan memikirkan kemudahan pelanggan DST dan Bank Baiduri, di mana mereka akan dapat membuat transaksi digital di dalam dan luar negara menerusi satu aplikasi.

Kenyataan menjelaskan, antara ciri utama aplikasi berkenaan adalah pemindahan dana antara pengguna DSTPay, tambah nilai akaun DSTPay pengguna menggunakan kad bit UnionPay Baiduri, membuat transaksi di mana-mana kedai yang mempunyai kod QR Baiduri dan membuat transaksi di mana-mana di luar negara yang menerima kod QR UnionPay. Pada masa ini, mereka yang mempunyai kad debit, kredit atau prabayar Baiduri boleh mendaftar bagi DSTPay.