DST bantu perluas perkhidmatan panggilan EMAS 991

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dengan soko-ngan Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Kementerian Kesihatan, baru-baru ini telah memperkenalkan pusat panggilan Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS) 991 yang telah diubahsuai di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DST, pusat panggilan EMAS 991 itu dilengkapi, diintegrasikan dan dikuasakan dengan penyelesaian pusat panggilan DST.

Dengan jumlah tinggi panggilan yang diterima semasa gelombang kedua wabak COVID-19 yang melanda negara ini, Kementerian Kesihatan mendapatkan bantuan DST untuk meluaskan perkhidmatan panggilan kecemasan 991 menggunakan sistem pusat panggilan DST dengan melihat ciri-ciri pusat panggilan 991 yang moden dan dipertingkat.

Kenyataan menambah, penubuhan pusat panggilan baharu itu telah berjaya dikuasakan oleh DST sejak 1 September lalu.

Penyelesaian yang disediakan oleh DST itu kini didatangkan dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan seperti log panggilan, log-masuk ejen, rakaman panggilan, laporan, menyambungkan panggilan, ciri-ciri IVR dan boleh menerima sehingga 30 panggilan serentak yang dibukakan kepada keempat-empat daerah.

Sebelum ini, ia hanya boleh menerima 15 panggilan serentak dan terbuka kepada tiga daerah sahaja.

Selain menyediakan pusat panggilan EMAS 991, kenyataan menyatakan, DST juga menaja 10 unit komputer riba dan softphone serta headset.

DST juga terlibat dalam menyediakan penyelesaian sambungan bagi pusat panggilan baharu itu.

Pada 12 September lalu, DST telah berjaya menyelaraskan peralihan pusat panggilan 991 kepada nombor pilot DST yang menandakan operasi rasmi 991.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa berkesempatan meninjau pusat panggilan 991 di Hospital RIPAS.