Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sambutan Hari Guru yang dianjurkan oleh Datastream Digital Sdn Bhd (DST) sejak 16 Oktober telah melabuhkan tirainya kelmarin dengan acara sambutan terakhir.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DST, sepanjang tempoh dua minggu sambutan tersebut, syarikat telekomunikasi berkenaan telah mengadakan empat acara untuk meraikan guru-guru dari pelbagai kategori sekolah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara bermula dengan kempen ‘Undi untuk Sekolah Awda’ di media sosial yang bertujuan untuk menarik orang ramai mengambil bahagian dengan mengundi sekolah kegemaran.
Guru-guru sekolah yang menang akan diraikan oleh DST sebagai penghargaan atas usaha gigih, dedikasi dan kesabaran mereka dalam membimbing para graduan, pelajar dan bakal pemimpin masa depan.
Undian adalah berdasarkan lima kategori berbeza iaitu Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah (Swasta), Sekolah Rendah (Kerajaan) dan Sekolah Agama dengan sekolah-sekolah yang mendapat undian tertinggi menerima sambutan
eksklusif daripada DST.
Pada tahun ini, DST telah memutuskan untuk turut menjemput guru-guru yang sangat istimewa dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Negalang Temburong dan Sekolah
Rendah Abdul Rashid Menunggol untuk menyertai sambutan berkenaan.
Pada acara sambutan berkenaan, guru-guru telah dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni, bersama-sama ahli pasukan pengurusan dan pasukan DST.
Sepanjang sambutan itu, guru-guru dihiburkan dengan pelbagai aktiviti dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik, menikmati pelbagai makanan dan memenangi hadiah cabutan bertuah.
Guru-guru yang hadir juga membuat persembahan dan menyampaikan ucapan balas khas untuk DST yang menyatakan rasa terima kasih.
