DST, MultiSys kukuhkan transformasi digital

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Datastream Digital Sdn Bhd (DST) melakar satu mercu tanda yang penting dalam transformasi digital dan inovasi di Brunei menerusi penandatangan perjanjian rakan kongsi dengan MultiSys Technologies Corporation (MultiSys), sebuah syarikat penyelesaian kejuruteraan perisian yang berpangkalan di Filipina untuk mengukuhkan teras memasuki alam transformasi digital dan inovasi di Brunei dan Filipina.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni bagi pihak DST, manakala pihak MultiSys diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, David Almirol Jr.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatangan perjanjian berkenaan ialah Pengerusi DST, Haji Sofian bin Haji Mohammad Jani.

Turut hadir untuk menyaksikan penandatanganan secara maya itu ialah Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christopher B Montero; Duta Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Hajah Johariah binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Pengerusi DST, Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi dan pegawai-pegawai kanan DST serta jemputan khas.

Turut menyaksikan secara maya di Filipina ialah Presiden Smart Communications Inc, Al Panlilio serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ePLDT Inc, Jovy Hernandez.

Ketua pegawai eksekutif DST (kiri) dan ketua pegawai eksekutif MultiSys (kanan) menandatangani perjanjian disaksikan oleh Haji Sofian.
Radin Sufri dan Haji Sofian hadir bersama tetamu lain pada majlis menandatangani perjanjian di antara DST dan MultiSys Technologies Corporation.

Penandatanganan perjanjian yang dilaksanakan secara maya itu menyaksikan kedua-dua belah pihak akan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam teknologi telekomunikasi dan penyelesaian kejuruteraan perisian supaya dapat memberikan akses dan pengalaman pengguna yang lebih baik dalam semua suasana.

Kerjasama itu juga memberikan peluang yang baik untuk membangunkan dan meneroka pasaran luar negara bersama dengan penyelesaian yang inovatif.

Pembangunan pelbagai teknologi yang dicadangkan berpotensi untuk memberikan laluan bagi DST dan MultiSys untuk mengembangkan penyediaan penyelesaian bagi Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) dalam ekosistem masing-masing serta pada masa yang sama, platform MultiSys yang sedia akan juga akan diberikan kuasa oleh DST dan akan dikembangkan ke dalam pelbagai penyelesaian MultiSys.

Pada majlis berkenaan, Radin Sufri menyatakan bahawa kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dapat memajukan lagi agenda transformasi digital di mana bagi DST dalam usaha untuk menjadi pemudah penggunaan teknologi transformasi digital, pihaknya terus mencari serta amat mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan luar negara.

“Kerjasama ini adalah amat penting bagi mengukuhkan asas untuk membina sebuah transformasi digital lestari dalam ekosistem DST,” ulasnya lagi.

Beliau berkata lagi bahawa kerjasama dengan MultiSys merupakan sebahagian daripada pelan DST untuk mempunyai sokongan digital yang lebih kuat bagi membantu usahawan teknologi dan digital yang bercita-cita tinggi.

Beliau berharap dengan kerjasama itu, mereka dapat terus memberikan inspirasi kepada usahawan teknologi bukan sahaja dari Brunei dan Filipina tetapi juga dari negara-negara lain untuk bekerjasama bagi membina ekosistem digital itu.

Sementara itu, David Almirol Jr dalam kata alu-aluannya menyatakan perasaan amat teruja menerusi kerjasama strategik dengan DST di mana kedua-dua belah pihak akan sama-sama meneroka dan membangunkan pelbagai peluang memberikan transformasi digital yang lebih hebat bagi kedua-dua pasaran.

Kerjasama itu, ulasnya, adalah amat bermakna bukan sahaja untuk syarikatnya tetapi juga bagi negaranya yang dapat mengetengahkan lagi kepintaran teknologi warga Filipina ke luar negara.

Kerjasama itu akan membantu DST melengkapkan perjalanan transformasi digitalnya untuk meningkatkan lagi pengalaman digital pelanggan dengan menyediakan gaya hidup pintar yang lebih baik dan menyokong matlamat Negara Pintar Kerajaan Negara Brunei Darussalam di mana platform sistem MultiSys berupaya untuk menyokong transaksi tanpa kertas dan memperkemaskan proses kerajaan.

Usaha itu juga akan membolehkan dan memperkasakan DST untuk meneroka dan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan melepasi perkhidmatan standard penyedia perkhidmatan telekomunikasi tradisional.

Platform digital DST bukannya penghujung bagi agenda transformasi DST kerana DST akan terus bekerjasama dengan pemain-pemain digital utama lain di Negara Brunei Darussalam dan juga luar negara untuk membangunkan dan mengintegrasikan platform digital di luar alam telekomunikasi.

Usaha itu akan membolehkan DST untuk menggunakan platform digital berkenaan di dalam rantau ini dan juga berupaya untuk melepasi Brunei.