Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Dengan berkonsepkan pejabat terbuka bertemakan ‘Taman’, DST telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Korporat khas bagi rakan-rakan kongsi perniagaan, ahli-ahli korporat dan wakil-wakil dari pelbagai agensi yang berlangsung di Pusat Seni, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), di sini, hari ini.
Kehadiran para tetamu telah dialu-alukan oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga selaku Pengerusi DST, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan selaku ahli Lembaga Pengarah DST, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussain serta pegawai dan kakitangan DST.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta para diplomat luar negara ke Negara Brunei Darussalam.
Dalam suasana taman sesuai dengan temanya, majlis berkenaan telah dimeriahkan lagi dengan persembahan muzik orkestra dengan alunan lagu-lagu klasik Hari Raya Aidilfitri.
Dalam menyokong dan mendukung para peniaga tempatan, DST turut menjemput peniaga makanan tempatan untuk hidangan para tamu hingga jurugambar tempatan untuk merakamkan kemeriahan sambutan tersebut.



Antara peniaga tempatan yang turut serta adalah I say Yatta, Oh Azizah Kitchen, Wok It Out, Little Gourmet, The Healthy Habit and The Coffee Habit, Potato Habit, Chatramue, Santan Coconut Ice Cream, Rumah Celato, Muffin’s Paradise, Sweet Nyonya dan Roasted Sip.
Para tetamu juga dihidangkan dengan pelbagai makanan antarabangsa dan tempatan serta masakan langsung yang terdiri daripada masakan Jepun, Itali, Melayu dan hidangan antarabangsa lain dari Fratini’s dan Excapade Sushi.
Pondok bergambar juga disediakan untuk para tetamu merakamkan gambar kenangan yang dikendalikan oleh Kotak Senyum yang membolehkan para tetamu memuat naik gambar-gambar mereka dengan hastag #dstraya2017 dan memilih beberapa gambar mereka untuk dibawa pulang secara percuma.
Pengurus Kumpulan Komunikasi Korporat DST, Hajah Safrina binti Pehin Dato Haji Abd Rahman berkata, “Suasana yang bertemakan Taman ini memberikan mood positif. Acara tahunan pejabat terbuka DST kami ini sering menjadi acara yang menarik dan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bagi kedua-dua pihak kakitangan DST dan pihak-pihak berkepentingan, rakan kongsi perniagaan dan pelanggan-pelanggan korporat kami. Ia adalah antara peluang untuk beramah mesra dalam satu masa pada satu tempat dan memberikan mereka hospitaliti untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah lama terjalin.”
Selain daripada majlis sambutan berkenaan, DST juga menganjurkan pelbagai siri acara Hari Raya Aidilfitri di sepanjang bulan Syawal termasuk Hari Raya DST bersama individu berkeperluan khas di keempat-empat daerah dan Sambutan Hari Raya bagi ahli-ahli korporat dari Daerah Belait.