DST tampilkan iphone 11

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Apple iPhone 11 terbaharu secara rasmi memasuki pasaran Brunei dengan majlis pelancaran yang diadakan oleh DSTIncomm selaku pengedar sah Apple di Brunei Darussalam, hari ini.

Pelancaran telefon pintar kemegahan dari Amerika Syarikat itu telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Pada majlis berkenaan, Radin Sufri dan Pengiran Azaleen turut berkesudian menyerahkan beberapa telefon iPhone 11 kepada para pelanggan terawal yang membeli telefon berkenaan.
Dengan pelancaran itu, telefon pintar berkenaan kini boleh didapatkan di kesemua cawangan DSTIncomm di negara ini dan dalam kedai online mereka.

DSTIncomm dengan kerjasama Bank Baiduri juga mengumumkan tawaran eksklusif bagi pemegang kad Baiduri Infinite dan kad kredit platinum Bank Baiduri dengan potongan harga yang ditetapkan apabila membeli Apple iPhone 11 itu.

Tawaran berkenaan akan berjalan sehingga awal November depan, selagi stok masih ada.
Peranti iPhone 11 dan iPhone 11 Pro merupakan telefon pintar terbaharu yang dilancarkan oleh Apple pada September lalu dengan menampilkan kecanggihan bagi para pengguna yang mengidamkan telefon pintar terbaik.

Semua model iPhone baharu berkenaan akan dimuatkan dengan perisian Apple iOS 13.
Turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis perasmian berkenaan ialah pegawai pengurusan kanan DST dan para pegawai serta kakitangan DST lainnya.

Radin Sufri dan Pengiran Azaleen ketika melancarkan iPhone 11.
Radin Sufri ketika menyampaikan iPhone 11 kepada salah seorang daripada 20 pelanggan terawalnya.