DST terima pengiktirafan

NAY PYI TAW, 8 NOV – Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) DST menerima pengiktirafan apabila dicalonkan bagi anugerah berprestij, Anugerah Pembangunan Pedalaman dan Kepimpinan Membasmi Kemiskinan (RDPE) ke-4 ASEAN bagi kategori NGO/CSO dan sektor swasta di Horizon Lake View Resort, Nay Pyi Taw, Myanmar hari ini.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, anugerah adalah bagi pencapaian membanggakan dan sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan komuniti pedalaman serta usahanya mengurangkan kemiskinan dalam kalangan anggota negara-negara ASEAN, diterima oleh Penolong Pengurus Besar DST, Awang Amir bin Pehin Datu Pekerma Bijaya Kolonel (B) Dato Paduka Haji Matussin.

Hadir sama pada majlis penganugerahan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Menteri Kesatuan bagi Pertanian, Ternakan dan Pengaliran Republik Kesatuan Myanmar, TYT Dr Aun Thu dan Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, Khung Phoak.

Di bawah undangan Sekretariat ASEAN melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, DST menyertai Forum RDPE bagi Perkongsian Awam Swasta ASEAN ke-8 yang diadakan pada 6 hingga 8 November dan pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pembangunan Pedalaman dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-8 di Horizon Lake View Resort.

DST dalam kenyataannya, berbangga dicalonkan menerima anugerah berprestij itu. Anugerah adalah berdasarkan Projek Ihsan Kasih (IK) DST yang meliputi tiga perkara berkaitan pedalaman dan pembangunan ICT.

Awang Amir ketika menerima anugerah daripada Kung Phoak sambil disaksikan oleh TYT Dr Aung Thu. -Gambar serahan DST

Ia termasuklah Kempen Amal Ihsan Kasih bagi keluarga-keluarga kurang bernasib baik dalam bulan Ramadan. Kempen amal itu juga menunjukkan kolaborasi dan perkongsian DST dengan agensi-agensi berkaitan bagi menghulurkan lebih banyak bantuan kepada keluarga kurang bernasib baik serta menyokong komuniti perniagaan tempatan.

Kejayaan Kempen IK DST turut dipuji apabila DST mencipta peluang bersama keluarga yatim piatu lima adik-beradik dengan menawarkan pekerjaan di syarikatnya kepada anak paling tua keluarga tersebut. Peluang itu menawarkan keupayaan kepadanya untuk meneruskan pengajian dan menanggung keluarganya serta pendidikan adik-beradiknya yang lain. Kini beliau sudah pun menamatkan pengajian dan terus bekerja di DST.

DST turut menyertai perkongsian dengan Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengenai Inisiatif Pertanian Pintar di Brunei Darussalam melalui penandatangan MoU bagi matlamat membangunkan dan mengusahakan Persekitaran dan Pertanian Pintar dalam Ogos tahun ini.

DST akan terus terlibat dengan kerajaan, agensi luar dan NGO dalam kolaborasi perkongsian berkaitan inisiatif CSRnya demi pembangunan negara dan Revolusi Industri ke-4 dalam pertanian dan penyelesaian bandar pintar melalui penyediaan manfaat sebenar dan jangka panjang kepada perniagaan dan rakyat negara ini pada masa akan datang.