Dua anak raja pop bakal berentap

Dua anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani dan adiknya, Ahmad Zaki Yamani berentap pada pusingan awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.

Mengulas pencalonannya, Osama tidak menyangka bakatnya diperhatikan hingga tersenarai dalam calon awal kategori itu. Lebih manis, menyedari perkara itu, ayah turut menitipkan semangat kepadanya dan Zaki.

“Baba (Jamal Abdillah) gembira dua anaknya dicalonkan pada ABPBH 34. Malah, Baba berharap kami akan teruskan perjuangannya… Baba tumpang seronok.

“Seingat saya, Baba pernah menang trofi Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH 1993,” katanya kepada media.

Osama sedar acara anugerah seperti ABPBH menyerahkan kuasa mutlak kepada peminat untuk memilih artis tersayang.

Osama Yamani (kiri) dan adiknya, Ahmad Zaki Yamani berentap pada pusingan awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH ke-34. – Agensi

“Biarpun masih dalam pencalonan awal, saya tidak sangka semua ini berlaku. Apatah lagi, saya masih anggap ada kekurangan itu dan ini.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki dan jauh lagi perjalanan seni saya,” katanya.

Ditanya perasaan bersaing dengan adik, Osama melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif.

“Saya dan Zaki sama-sama melihat persaingan ini dari sudut positif. ABPBH berpaksikan kuasa undian peminat, apa saja boleh terjadi.

“Saya bangga dengan Zaki. Saya doakan dia terus gigih kutip pengalaman dan belajar banyak perkara untuk terus mengukuhkan nama dalam industri seni,” katanya.

Osama yang berjinak-jinak menyanyi sejak 2014, tidak meletakkan sasaran dalam pencalonan itu. Malah, Osama yang memiliki tiga single termasuk Bunga Seroja, Takut Kehilangan dan Hari Raya Menjadi Saksi, akur calon lain memberi saingan sengit.

“Jujur saya fikir masih belum layak untuk sampai ke tahap ini. Terima kasih BH dan ABPBH 34. Dicalonkan sudah dianggap suatu kejayaan saya.

“Untuk mara sebagai Top 5 dan menang, itu adalah di luar pemikiran. Jika menang, ia dianggap bonus,” katanya.

Baginya, apa yang lebih utama, perjuangan seninya baru bermula.

“Saya mahu beri yang terbaik. Saya hendak sambung legasi seni ayah sebagai bintang berdisiplin dan berjaya,” katanya disokong Yamani Abdillah Fan Club (FC) yang ditubuhkan, tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Osama siap merakamkan single keempat.

“Bagaimanapun, saya belum sempat merakamkan video muziknya. Selain itu, saya, Zaki dan Baba ada projek kolaborasi lagu bersama.

“Namun, dengan situasi sekarang, banyak kerja tertunda. Selepas ada kelonggaran, barulah kami bertiga akan memulakan rakaman kelak,” katanya. – Agensi