PUTRAJAYA, 3 OKT – Isu pengguguran dua pemain ping pong Program Podium daripada senarai ke Sukan SEA Filipina selesai selepas dua pemain itu kembali diserap ke dalam senarai kontinjen Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu telah dicapai semalam, selepas beberapa siri pertemuan berlangsung antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).
“Dua pemain itu akan diserap semula ke dalam pasukan ping pong ke Sukan SEA dan pada masa yang sama kita hendak pastikan bahawa hubungan antara semua pihak ini sentiasa rapat.
“Akhirnya, isu ini telah selesai dan kita hendak pastikan apabila ia telah selesai, ia tidak akan berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dan LPM Support Malaysia. – Bernama


































