Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua atlet M’sia gagal ujian doping

    BANGKOK, 18 Okt – Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan dua atletnya telah gagal dalam ujian doping pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang berlangsung di Perak baru-baru ini.

    Perkembangan terbaharu itu disahkan sendiri oleh presiden persatuan Datuk Ayub Rahmat kepada Bernama dalam pertemuan di sini baru-baru ini.

    “Kedua-dua atlet angkat berat itu berdepan kemungkinan pergantungan mandatori selama empat tahun sebagaimana peraturan ditetapkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF),” menurutnya.

    Beliau enggan mendedahkan identiti kedua-dua atlet angkat berat itu yang gagal dalam ujian doping itu atau negeri diwakili mereka pada SUKMA di Perak itu, tetapi kemungkinan mereka adalah pemenang pingat.

    Ayub yang memegang tampuk PABM sejak Mei lepas juga berkata, persatuan juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi atlet angkat berat yang gagal dalam ujian doping pada SUKMA yang lepas.

    “Setakat ini dua orang (yang gagal ujian doping) ketika SUKMA. Masih ada lagi keputusan (ujian doping) yang belum kita perolehi. Harap-harap tiada lagi yang gagal ujian doping,” kata Ayub.

    Kedua-dua atlet angkat berat terbabit didapati positif bagi Sampel A, menurutnya dan menambah, sekiranya kedua-duanya tidak berpuashati dengan keputusan itu mereka boleh meminta diadakan ujian terhadap Sampel B. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda