Dua batalion PGA baharu di Sabah secepat mungkin

SANDAKAN, 6 NOV – Kertas kerja bagi mewujudkan dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah akan dikemukan kepada kerajaan pusat secepat mungkin, kata  Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff hari ini.

Menurutnya, cadangan mewujudkan batalion baharu di Kunak dan Kudat serta Beluran telah diluluskan pada sidang Parlimen pada 2014, namun Batalion 20 PGA Beluran diwujudkan  terlebih dahulu susulan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

“Saya berharap cadangan mewujudkan Batalion 21 di Kunak dan Batalion 22 di Kudat serta satu lagi Briged PGA di timur Sabah dapat direalisasikan bagi menambah kekuatan PGA di Sabah dalam mengawal keselamatan  secara menyeluruh.

“Kita yakin, jika ada semua kekuatan (PGA) ini, kita mampu mempertahankan Sabah daripada ancaman luar tanpa mengharapkan bantuan daripada negeri lain kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kawasan tanggungjawab masing-masing sama ada di Sarawak dan juga di Semenanjung,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran di sini hari ini.

Mengenai lawatannya ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran, beliau prihatin dengan keadaan batalion itu yang terpaksa beroperasi daripada sebuah bangunan komersil yang disewa di sini. – Bernama

Datuk Mastor Mohd Ariff (kiri) memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat sewaktu tiba di Ibu Pejabat Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) sempena lawatannya ke PGA Beluran, kelmarin. – Bernama