Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua bekas anggota polis dihukum penjara kes pembunuhan ahli politik Brazil

    RIO DE JANEIRO, 1 NOV – Dua bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara kelmarin selepas mengaku bersalah membunuh ahli politik Brazil, Marielle Franco, enam tahun lalu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 78 tahun sembilan bulan, manakala seorang lagi yang mengaku bersubahat dihukum penjara 59 tahun lapan bulan.

    Mereka turut diperintahkan membayar pampasan kepada keluarga Franco. Keputusan itu disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen perbicaraan.

    Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman 84 tahun dan merancang untuk mengemukakan rayuan, menurut laporan portal berita G1. Laporan itu turut menyebut bahawa kedua-duanya perlu membayar pampasan sebanyak 706 juta Real Brazil kepada keluarga Franco.

    Franco, seorang Ahli Majlis Bandaraya, ketika itu berusia 38 tahun ditembak mati dalam kenderaan di Rio de Janeiro. Pemandu turut terkorban dalam serangan itu, manakala pembantu Franco mengalami kecederaan.

    Franco, anggota parti sayap kiri PSOL, dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan hak penduduk di kawasan miskin (Favela). Beliau dilihat sebagai simbol harapan bagi golongan kiri di Brazil. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda