Dua belia Felda Sahabat jana pendapatan lumayan

LAHAD DATU – Dua anak peneroka Felda Sahabat, Bakri Pawerdi, 34, dan  Mohd Fadly Sultan, 30, dekat sini berjaya menjadikan ternakan lembu dan tanaman buah naga sebagai sumber pendapatan sampingan sehingga menjana pendapatan mencecah RM78,000 hingga RM1 juta setahun.

Kejayaan dua sahabat itu dibantu pihak Felda menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang menggalakkan golongan belia Felda untuk menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti penternakan dan pertanian.

Fadly yang mengusahakan tanaman buah naga sejak 2011 berkata sebanyak 5,000 pokok ditanam di atas tanah seluas tujuh hektar yang disediakan di Felda Sahabat 1, Kampung Anjung Teduh.

“Buah naga ini mendapat banyak permintaan dan ketika ini dipasarkan di daerah ini, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin ke Felda Sahabat.

Katanya ketika ini sebanyak 2,000 pokok buah naga di ladangnya menghasilkan buah secara produktif iaitu sebanyak satu tan setengah (1,500 kilogram) dengan pendapatan kasar RM12,000 setiap bulan.

Pengusaha Projek Penanaman Buah Naga Fadzly Sultan merupakan anak peneroka Felda Sahabat Lahad Datu. – Bernama
Gambar bertarikh 14 Februari 2020 Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika melakukan lawatan ke Projek Integrasi Lembu ‘Bumi Hijau’ Felda Sahabat yang diusahakan oleh anak peneroka Bakri Pawardi. – Bernama
Ladang Agro Vila milik Fadzly Sultan. – Bernama

Bakri yang mengusahakan ternakan lembu pedaging di Felda Sahabat 2, Cenderawasih kini bukan sahaja berjaya menjadi antara pembekal lembu pedaging utama di negeri ini, tetapi turut membekal daging lembu untuk pasaran di negeri Sarawak dan negara jiran, Brunei.

Menurut Bakri, beliau memulakan penternakan lembu secara integrasi di ladang kelapa sawit di Felda berkenaan pada 2004 dengan hanya 20 ekor dan jumlah ternakannya kini mencecah 3,350 ekor lembu.

“Kejayaan ini adalah hasil galakan dan sokongan oleh pihak Felda yang memberikan kawasan ragutan bebas lembu serta nasihat dan tunjuk ajar,” katanya yang pernah menerima anugerah Usahawan Penternak Jaya sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan pada 2017.

Bakri berkata ladangnya mampu membekalkan 600 hingga 1,000 ekor lembu setahun dengan anggaran kasar pendapatan sebanyak RM1 juta setahun.

Ladang ternakan yang diusahakan Bakri juga turut berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 52 orang peneroka dan golongan muda di Felda Sahabat. – Bernama