LANSING, MICHIGAN, 23 MAC – Dua beradik Michigan yang disabitkan bersalah secara salah dalam pembunuhan rakan keluarga telah bebas kelmarin dan bersatu semula dengan keluarga mereka selepas 25 tahun di penjara.
George dan Melvin DeJesus telah disabitkan dalam pembunuhan Margaret Midkiff pada 1995. Hakim Litar Daerah Oakland Martha Anderson mengetepikan sabitan mereka kelmarin.
“Saya ingin memohon maaf atas tindakan yang diambil oleh rakan senegara awda terhadap awda,” kata Anderson. “Dua puluh lima tahun hidup awda telah diambil daripada awda yang tidak boleh digantikan.”
Adik beradik itu kemudiannya memeluk ahli keluarga — dan bertemu beberapa orang buat kali pertama — di sebuah restoran di Lansing.
Ditanya apa yang seterusnya untuk adik-beradik itu, Melvin DeJesus berkata ia akan menjadi keputusan kolektif.
“Saya percaya ia akan menjadi pertemuan keluarga, pertemuan untuk melihat apa yang seterusnya dalam agenda kami sebagai lelaki bebas, kerana kami masih kecil ketika kami masuk dan sekarang kami lelaki,” kata DeJesus sambil memberi isyarat kepada anak perempuannya untuk menyertai dia dan abangnya di hadapan bilik. Dia memuji ibunya khususnya kerana tidak pernah membiarkan mereka kehilangan harapan, mengatakan dia tidak pernah meragui bahawa suatu hari nanti mereka akan bebas.
Midkiff telah diserang secara seksual dan dibunuh di rumahnya di Pontiac, Michigan, pada Julai 1995. Dia ditemui terikat dengan wayar dan dengan bantal di atas kepalanya. – AP