Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Dua beradik warga tempatan melakar sejarah selepas berjaya menempa nama dalam Kejohanan ‘Thailand Powerlifting Alliances Powerlifting Meet’ di Muscle Factory Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Kedua beradik itu, Awang Abdul Malik bin Haji Mohd Yusof dan Awang Abdul Hakim bin Haji Mohd Yusof, masing-masing telah memenangi tempat ketiga dalam sukan berkenaan.
Dalam kategori 75-85 Kilogram, pemenang pertama dimenangi oleh peserta dari United Kingdom, diikuti di tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Thailand dan Awang Abdul Malik meraih tempat ketiga.
Manakala bagi kategori 75 Kilogram, pemenang pertama dijuarai oleh peserta dari Afrika Selatan, diikuti peserta dari jepun meraih tempat kedua dan Awang Abdul Hakim di tempat ketiga.
Menurut Awang Abdul Malik ketika ditemubual, mereka mula berjinak dan menceburi bidang angkat berat ini sejak tahun 2012 dan sering membuat latihan di Muscle Pump Gym, Lumut milik keluarganya sendiri.


Mereka menyatakan perasaan gembira kerana berjaya meraih kemenangan walaupun berada di tempat ketiga.
Awang Addul Malik juga berharap mereka akan dapat meningkatkan lagi prestasi dengan meningkatkan lagi usaha, latihan serta akan dapat menyertai kejohanan sukan seperti ini di peringkat antarabangsa selain dapat menjadi seorang jurulatih yang berjaya.
Pada tahun 2014, Awang Abdul Malik juga pernah menang dalam bidang sukan yang sama di Singapura.
Kedua-dua peserta berkenaan telah pun selamat kembali ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei petang tadi.
































