Dua buah masjid terima wakaf kereta jenazah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong dan Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong, masing-masing memiliki sebuah kereta jenazah baharu yang diwakafkan oleh Haji Awang Ibrahim bin Haji Awang Damit dan keluarga.

Penyerahan kunci kenderaan jenazah tersebut disampaikan oleh pewakaf kepada Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang kemudian menyerahkannya kepada ketua imam di masjid masing-masing yang berlangsung di pekarangan kedua-dua masjid tersebut.

Wakaf merupakan satu daripada amalan sedekah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Sepertimana juga amalan sedekah yang lain, amalan ini telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah SWT kepada pewakafnya. Malah, apa yang lebih istimewa lagi adalah pahalanya akan kekal berpanjangan selagi harta yang diwakafkan masih wujud dan boleh dimanfaatkan walaupun pewakafnya meninggal dunia.

Haji Awang Ibrahim menyerahkan replika kunci kenderaan jenazah kepada Haji Amir Hisham. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid