Dua cedera akibat letupan gas bocor

Oleh Salawati Haji Yahya

BELAIT, 19 OKT – Dua orang mengalami kecederaan dalam insiden letupan gas bocor yang berlaku di sebuah rumah di Sungai Bakong Rancangan Perumahan Negara Lumut, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), insiden berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat yang mengalami kerosakan di kedua-dua tingkat selain melibatkan kerosakan kepada sebuah kereta jenis hatchback akibat letupan tersebut.

Kedua-dua mangsa warga tempatan telah diserahkan kepada bahagian paramedik bertugas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Empat anggota dari Balai Bomba Sungai Liang yang diketuai oleh Pemangku DSO Haslan bin Osman telah dikejarkan ke tempat insiden.

Dalam kenyataan itu, JBP mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa kepala gas dan hos atau paip saluran gas secara berkala dengan menggunakan air sabun untuk mengesan kebocoran pada saluran gas atau kepala gas.

Selain itu, pastikan penggunaan kepala gas ditukar setiap lima tahun manakala hos saluran gas (SS 233 / BS 3212) setiap dua tahun seperti yang telah disyorkan oleh pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM).

Orang ramai juga diingatkan supaya jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.

Di samping itu, jangan sesekali membuka mana-mana suis elektrik jika terhidu bau gas malah disarankan membuka pintu atau jendela untuk melepaskan gas.

Orang ramai juga diingatkan untuk memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan pemadam api ringkas jenis debu kering dengan berat 2kg dan selimut api.

Keadaan siling rumah teres dua tingkat yang mengalami kerosakan akibat letupan tersebut.
Keadaan kereta yang mengalami kerosakan akibat letupan gas bocor itu.