MIAMI, 20 FEB – Dua orang dimasukkan ke hospital semalam selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas ke dalam lautan di luar pantai di negeri Florida Amerika Syarikat (AS).
Polis Miami Beach berkata di Twitter,mereka menerima panggilan mengenai nahas itu pada jam 1:10 petang waktu tempatan.
“Polis dan @MiamiBeachFire bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa agensi rakan kongsi,” menurut kenyataan di Twitter.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) juga telah bertindak balas terhadap nahas itu.
“Terdapat tiga penumpang di dalam helikopter. Dua telah dihantar ke hospital,” kata polis, sambil menambah kedua-duanya berada dalam ‘keadaan stabil’.
Video yang disiarkan menunjukkan sebuah helikopter jatuh ke Lautan Atlantik, tidak jauh dari orang ramai berenang atau berjemur di pantai yang sesak itu.
Mary Schiavo, bekas inspektor jeneral Jabatan Pengangkutan AS, berkata di CNN bahawa video itu menunjukkan helikopter itu kelihatan kehilangan kuasa enjin. – AFP