Dua cedera luncur layar terhempas

KOTA KINABALU, 17 JAN – Seorang peluncur layar dan seorang wanita warganegara China cedera, selepas luncur layar yang dinaiki terhempas, semasa melakukan aktiviti berkenaan di Kompleks Sukan Ranau, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata mangsa, Yusof Mamat, 48, terseliuh kaki kanannya, manakala penumpangnya seorang wanita warganegara China, Zhau Ting, 28, patah di bahagian paha kanan.

Kenyataan itu menyebut, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 2.24 petang, dan tujuh anggota daripada balai Ranau dikejarkan ke lokasi kejadian. “Kedua-dua mangsa telah diberi rawatan awal dan dibawa dengan menggunakan pengusung, ke laluan utama sejauh empat kilometer.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital Ranau, dengan menggunakan jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan ambulan untuk rawatan lanjut. Operasi tamat pukul 3.35 petang,” kata agensi itu. – Bernama