Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Dua orang lelaki tempatan berumur 40 dan 35 tahun ditahan setelah didapati membawa barangan tegahan dalam kenderaan mereka di Jalan Labu berdekatan simpang Kampung Tanjung Bungar, Daerah Temburong, petang kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan, mereka ditahan oleh detektif dan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil risikan dan pemantauan dijalankan.
Semasa penahanan itu, sejumlah 11 kotak berbungkus plastik disimpan di bahagian tempat duduk penumpang dan bonet belakang kenderaan. Kenderaan serta suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut dan mendapati sebanyak 118 botol dan 48 tin minuman keras pelbagai jenama dalam bungkusan kotak-kotak tersebut.
Kesemua barang rampasan dan suspek diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU) Daerah Temburong bagi siasatan lanjut.
Kenyataan menegaskan, PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas daripada sebarang jenayah yang melibatkan rentas sempadan.
Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan informasi jika mengesan terdapatnya aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.