Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan pecah amanah.
Mohamad Azwan bin Zawawi, 43 (gambar), didakwa menyamar sebagai ‘inspektor’ polis dari Pasukan Polis Diraja Brunei dan mengirim lima keping gambarnya yang berpakaian seragam polis kepada seorang wanita melalui WhatsApp antara 8 dan 10 Oktober 2017.
Sementara Lans Koperal Arman anak Degat, 34, yang bertugas sebagai penyelenggara stor di Balai Polis Temburong pula berdepan dakwaan pecah amanah, dengan meminjamkan pakaian seragam dan aksesori polis kepada Mohamad Azwan.
Tidak ada sebarang pengakuan direkodkan dari kedua-dua tertuduh dan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 22 Oktober untuk kes disebut semula.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.